KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) — Bursa Malaysia mengalami penurunan semasa mengakhiri sesi dagangan pagi hari ini berikutan kekurangan pemangkin.
Pada rehat tengah hari, petunjuk pasaran, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.16 mata atau 0.38 peratus kepada 1,637.74, setelah bergerak di antara 1,634.82 dengan 1,645.76 sepanjang sesi pagi.
Indeks itu dibuka 0.47 mata lebih tinggi kepada 1,644.37 berbanding 1,643.9 ketika ditutup pada Isnin.
Bagi pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 592 berbanding 421, manakala 499 kaunter tidak berubah, 616 kaunter tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 5.12 bilion unit bernilai RM2.28 bilion.
Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, Axi, Stephen Innes berkata bagi indeks itu, bursa tempatan bergelut untuk mencatatkan prestasi lebih baik memandangkan rancangan kerajaan untuk mendakwa beberapa lagi syarikat pembuat sarung tangan atas kegagalan menyediakan tempat tinggal yang sewajarnya untuk pekerja mereka.
“Ini menjadikan FBM KLCI sedikit rendah walaupun terdapat aktiviti positif lain di bawah indeks itu sekiranya rantaian bekalan pembuat sarung tangan getah tidak diambil kira.
“Dagangan berlangsung dengan baik di bawah indeks itu, dengan kaunter perbankan serta minyak dan gas mengekalkan kedudukan masing-masing,” katanya kepada Bernama.
Menurut laporan media, kerajaan merancang untuk memfailkan 30 pertuduhan terhadap pembuat sarung tangan, Brightway Holdings dan dua anak syarikatnya, susulan serbuan menunjukkan tempat tinggal pekerja mereka tidak memenuhi standard minimum yang ditetapkan.
Sementara itu, antara saham berwajaran tinggi, Maybank dan Petronas Chemicals masing-masing menambah satu sen kepada RM8.55 dan RM7.50, TNB naik dua sen kepada RM10.60, IHH Healthcare menokok tiga sen kepada RM5.75, Public Bank turun empat sen kepada RM20.74 dan Hong Leong Bank kurang empat sen kepada RM18.56.
Pembuat sarung tangan, Top Glove dan Hartalega masing-masing merosot 17 sen dan 46 sen kepada RM6.09 dan RM12.
Dalam kalangan saham aktif, Techna-X naik tiga sen kepada 17 sen, Mestron menokok dua sen kepada 23.5 sen, Puncak Niaga menambah lima sen kepada 45 sen, Kanger dan Melewar masing-masing tidak berubah pada 14.5 sen dan 58.5 sen, sementara Iris turun satu sen kepada 43 sen dan AT Systematization susut setengah sen kepada 19.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 42.06 mata kepada 11,805.95, Indeks FBMT 100 turun 41.95 mata kepada 11,558.7, Indeks FBM Emas Syariah kurang 67.29 mata kepada 13,188.46, FBM 70 menguncup 49.03 mata kepada 15,148.46 sementara FBM ACE menambah 18.57 mata kepada 10,698.36.
Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri tidak berubah pada 177.15, Indeks Perladangan turun 24.04 mata kepada 7,406.61 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 2.76 mata kepada 15,431.05.
— BERNAMA