KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan prestasi rendah hari ini, yang menyaksikan indeks utama bergerak dalam jajaran kecil dan sentimen berhati-hati, mengambil isyarat daripada prestasi lemah semalaman di Wall Street, kata peniaga.
Pada 12.30 tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.92 mata kepada 1,499.65 berbanding 1,501.57 sewaktu ditutup pada Isnin.
Indeks penanda aras itu dibuka rendah 0.79 mata kepada 1,500.78 dan kemudiannya bergerak di antara 1,496.89 dengan 1,503.04 sepanjang sesi dagangan.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 405 berbanding 334, manakala 371 kaunter tidak berubah, 1,222 tidak diniagakan dan 53 yang lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 1.52 bilion unit bernilai RM807.44 juta.
Peniaga berkata Bursa Malaysia dibuka rendah dan meneruskan dagangan yang kebanyakannya dalam wilayah negatif.
Aktiviti pengambilan untung dapat dilihat di kaunter saham wajaran tinggi terpilih, bertentangan dengan trend ekuiti Asia yang kebanyakannya meningkat pada sesi dagangan pagi ini, katanya.
Peniaga ActivTrades, Anderson Alves berkata ekuiti Asia diniagakan dalam sentimen defensif pada Selasa berikutan ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell dan bank-bank pusat Eropah lain pada simposium Jackson Hole yang cenderung kepada peningkatan kadar faedah.
“Menjelang keputusan mengenai dasar monetari pada bulan ini, peniaga telah mula menetapkan harga yang berkemungkinan lebih tinggi berbanding 80 peratus bagi kenaikan 75 mata asas di pasaran kadar faedah AS dan Eropah,” katanya.
Beliau berkata kebimbangan mengenai COVID-19 terus menjejaskan pasaran Asia berikutan pelabur boleh mengelakkan risiko pendedahan mereka kepada Asia Pasifik disebabkan pandemik COVID-19 yang belum berakhir, manakala tekanan ekonomi di China terus meningkat akibat sekatan pergerakan dan dasar sifar COVID-19 di negara itu.
Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun meningkat 1.16 peratus kepada 28,201.91, Indeks Straits Times Singapura menambah 0.52 mata kepada 3,239.02 dan Kospi Korea Selatan meraih 0.91 peratus kepada 2,449.09, manakala Indeks Hang Seng Hong Kong turun 0.90 peratus kepada 19,843.71.
Dalam negara, pasaran saham wajaran tinggi seperti Maybank dan CIMB masing-masing menokok satu sen kepada RM8.95 dan RM5.41, Public Bank meraih tiga sen kepada RM4.66, manakala Petronas Chemicals turun satu sen kepada RM8.89 dan IHH Healthcare susut 17 sen kepada RM6.17.
Bagi saham aktif, Vortex dan Dagang Nexchange masing-masing meningkat setengah sen kepada 18.5 sen dan 85.5 sen, My EG Services menokok enam sen kepada 77.5 sen, UMedic naik tujuh sen kepada 63 sen, manakala Metronic susut setengah sen kepada tujuh sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 1.87 mata kepada 10,623.63, Indeks FBMT 100 susut 2.78 mata kepada 10,374.09, FBM ACE berkurangan 2.61 mata kepada 4,879.19, Indeks FBM Emas Syariah merosot 13.43 mata kepada 10,719.91, manakala FBM 70 menokok 38.91 mata kepada 12,662.57.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 22.81 mata kepada 7,129.18, Indeks Tenaga menambah 5.13 mata kepada 728.23, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 11.96 mata kepada 16,734.35, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.23 mata kepada 182.69.
— BERNAMA