KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) — Bursa Malaysia terus mencatatkan aliran penurunan dengan rendah semasa mengakhiri sesi pagi ini, berikutan indeks utamanya dipengaruhi oleh jualan dalam saham wajaran tinggi, didahului oleh kaunter sarung tangan getah.
Pada rehat tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 26.56 mata kepada 1,600.65, selepas berada antara 1,593.12 dan 1,629.01 sepanjang sesi.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 990 berbanding 274, manakala 276 kaunter tidak berubah, 542 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 4.49 bilion unit bernilai RM3.65 bilion.
Peniaga berkata perkembangan positif mengenai vaksin COVID-19, yang dijadualkan pada suku pertama 2021 mendorong pelabur untuk mengurangkan pegangan mereka dalam saham sarung tangan getah.
Hartalega susut RM1.66 kepada RM10.48, Top Glove merosot 66 sen kepada RM5.46 dan Supermax berkurangan 47 sen kepada RM5.54.
Saham ini merupakan kaunter paling rugi antara 30 konstituen indeks di Bursa Malaysia, menyebabkan indeks komposit merosot dengan gabungan 23.73 mata.
Bagi saham wajaran tinggi lain, Maybank susut 11 sen kepada RM8.35, Public Bank merosot 12 sen kepada RM20.48 dan Petronas Chemicals berkurangan 13 sen kepada RM7.30.
Bagaimanapun, Tenaga meningkat lapan sen kepada RM10.50 dan IHH Healthcare naik enam sen kepada RM5.56.
Dalam kalangan saham cergas, Sapura Energy dan AT Systematization, masing-masing susut setengah sen kepada 12 sen dan 18 sen, Dynaciate menambah satu sen kepada 14 sen, Niche naik dua sen kepada 26 sen, manakala Borneo Oil tidak berubah pada empat sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 188.47 mata kepada 11,473.46, Indeks FBMT 100 berkurangan 186.34 mata kepada 11,315.65, Indeks FBM Emas Shariah merosot 255.63 mata kepada 12,903.52, FBM 70 susut 239.93 mata kepada 14,902.9, dan FBM ACE turun 38.41 mata kepada 10,696.28.
Indeks Perladangan menambah 8.17 mata kepada 7,311.01, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 107.6 mata kepada 15,208.94 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 2.62 mata kepada 175.49.
— BERNAMA