KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) — Bursa Malaysia rendah pada tengah hari ini selepas permulaan yang positif, dipengaruhi oleh prestasi saham global yang rendah terutamanya di rantau Eropah.
Pada rehat tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.14 mata kepada 1,607.97 daripada 1,612.11 semasa ditutup semalam.
Indeks dibuka tinggi 3.09 mata kepada 1,615.20.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 542 berbanding 499, manakala 449 kaunter tidak berubah, 681 tidak diniagakan dan 88 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 6.07 bilion saham bernilai RM2.68 bilion.
Penurunan itu didorong oleh jualan besar-besaran dalam beberapa syarikat utama, aktiviti pengambilan untung dalam beberapa sektor, selain menjejaki pergerakan ekuiti global.
Menurut Bloomberg, aset berisiko global lembap berikutan pandemik telah menjejaskan kenaikan dalam saham Eropah dan niaga hadapan ekuiti Amerika Syarikat.
“Syarikat kitaran termasuk bank dan syarikat tenaga yang mendorong lonjakan pasca vaksin merosot manakala lebih banyak saham teknologi defensif meningkat,” katanya.
Sime Darby Plantation merosot 14 sen kepada RM5.07, Maxis berkurangan lima sen kepada RM5.07, Hartalega susut 16 sen kepada RM14.60, Genting Malaysia dan Tenaga Nasional, masing-masing merosot lapan sen kepada RM2.52 dan RM10.92.
Dalam kalangan saham cergas, Kanger, AT Systematization dan Metronic, masing-masing menambah setengah sen kepada 18.5 sen, 20.5 sen dan 11.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 22.97 mata kepada 11,544.67, Indeks FBMT 100 merosot 25.93 mata kepada 11,132.61, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 9.45 mata kepada 13,299.18, dan FBM 70 turun 20.96 mata kepada 14,738.10.
FBM ACE naik 44.99 mata kepada 10,647.29, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 2.27 mata kepada 163.68, Indeks Perladangan susut 77.12 mata kepada 7,273.25 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 39.39 mata kepada 14,145.74.
— BERNAMA