KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) — Bursa Malaysia susut berbanding meningkat sebelum ini untuk mengakhiri sesi dagangan pagi rendah, berikutan indeks petunjuk pasarannya merosot 0.11 peratus susulan aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi terpilih.
Pada rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.67 mata kepada 1,586.58 daripada 1,588.25 semasa ditutup semalam.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 3.73 mata kepada 1,591.98 dan bergerak antara 1,585.66 dan 1,592.18 sepanjang sesi.
Suasana pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 590 berbanding 347, manakala 448 kaunter kekal tidak berubah, 769 tidak diniagakan dan lima yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 4.14 juta saham bernilai RM2.02 juta.
Rakuten Trade Research berkata pasaran serantau dijangka bercampur-campur hari ini dalam persekitaran kes COVID-19 meningkat.
“Di peringkat tempatan, kami menjangka FBM KLCI terus berada dalam pembetulan dan menjangka indeks berada dalam julat 1,580-1,590 berikutan tanpa pemangkin belian,” katanya.
Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura susut 0.85 peratus kepada 3,152.22, Kospi Korea Selatan meningkat 0.64 peratus kepada 3,147.37 dan Hang Seng Hong Kong naik 0.01 peratus kepada 28,599.80.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM8.24, Public Bank meningkat satu sen kepada RM4.13, Petronas Chemicals naik dua sen kepada RM8.20 dan Top Glove susut lapan sen kepada RM5.37.
Daripada saham cergas, Focus Dynamics merosot setengah sen kepada 10 sen, Sedania naik lapan sen kepada 31.5 sen dan Dagang Nexchange menambah tiga sen kepada 71 sen.
Kaunter paling untung termasuklah Transocean yang naik 58 sen kepada RM6.78 dan Dataprep yang meningkat 37 sen kepada RM1.87, manakala MPI menambah 20 sen kepada RM38.70 dan Sungei Bagan Rubber menokok 13 sen kepada RM3.25.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 11.04 mata kepada 11,690.14, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 26.03 mata kepada 13,108.29, Indeks FBMT 100 merosot 13.80 mata kepada 11,334.76, FBM 70 turun 25.98 mata kepada 15,389.60 dan FBM ACE susut 79.94 mata kepada 8,547.46.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.16 mata kepada 199.39, Indeks Perladangan berkurangan 41.52 mata kepada 6,950.49 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 8.01 mata kepada 14,847.23.
— BERNAMA