KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih rendah dan seiring dengan prestasi pasaran serantau, diheret turun oleh tekanan jualan yang merentasi semua papan berikutan kelemahan sentimen pasaran dan penurunan harga minyak.
Pada rehat tengah hari ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.25 mata kepada 1,593.32 selepas bergerak dalam jajaran 1,589.81 hingga 1,603.07 sepanjang sesi dagangan pagi.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 679 berbanding 357 manakala 665 kaunter tidak berubah, 381 tidak diniagakan dan 12 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 3.57 bilion unit bernilai RM2.08 bilion.
Menurut seorang peniaga, prestasi semalaman Wall Street dan peningkatan kes COVID-19 turut memberi kesan kepada sentimen pasaran yang menyebabkan penyusutan sebahagian besar bursa serantau.
Sementara itu, penyusutan harga minyak sebanyak satu peratus selepas pihak Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) dan sekutunya gagal mencapai persetujuan mengenai pengeluaran bagi Februari.
Saham Petronas Chemicals berkurangan sebanyak 19 sen kepada RM7.02, Petronas Gas merosot 48 sen kepada RM16.72, MISC turun 18 sen kepada RM6.54, Dialog rugi 12 sen kepada RM3.35 manakala Petronas Dagangan jatuh 40 sen kepada RM21.00.
Bagi saham wajaran tinggi lain, Maybank turun tujuh sen kepada RM8.28, IHH Healthcare rugi empat sen kepada RM5.48 manakala Public Bank dan Tenaga tidak berubah pada RM20.52 dan RM10.46.
Bagaimanapun, Top Glove melonjak 15 sen kepada RM5.65.
Saham aktif menyaksikan BCM berkurangan sebanyak 2.5 sen kepada 33.5 sen, Ageson dan Yong Tai masing-masing meraih dua sen kepada 15 sen dan 32.5 sen, Iris menokok satu sen kepada 43.5 sen manakala AT Systematization tidak berubah pada 18.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 66.2 mata kepada 11,540.26, Indeks FBMT 100 merosot 67.72 mata kepada 11,276.44, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 66.1 mata kepada 12,877.3 dan FBM 70 turun 98.4 mata kepada 14,900.14.
Namun, FBM ACE naik 14.34 mata kepada 10,807.68.
Indeks Perladangan pula susut 44.07 mata kepada 7,285.43, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot sebanyak 117.22 mata kepada 15,124.69 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 2.33 mata kepada 173.12.
— BERNAMA