KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) — Indeks barometer Bursa Malaysia meningkat sedikit selepas menyaksikan urus niaga yang tidak menentu dengan sentimen pasaran diselubungi oleh aliran menurun sektor perbankan, diikuti oleh kebimbangan pelabur mengenai hala tuju perdagangan.
Pada waktu rehat, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.48 mata menjadi 1,608.07 berbanding 1,607.59 ketika ditutup petang Jumaat minggu lepas.
Indeks utama pagi ini dibuka 0.82 mata lebih rendah pada 1,606.77.
Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi 661 berbalas 430 manakala 442 kaunter tidak berubah, 467 tidak diniagakan dan 80 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 4.78 bilion saham bernilai RM2.51 bilion.
Sektor kewangan adalah antara sektor yang paling teruk terjejas selepas beberapa pengumuman keputusan kewangan suku ketiga yang mengecewakan.
Selain itu, dilaporkan pentadbiran Donald Trump sedang mempertimbang untuk menyenaraihitamkan syarikat pembuat cip, SMIC serta pengeluaran minyak dan gas CNOOC dari China sementara Australia telah mengancam untuk membawa China ke Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) selepas negara itu mengenakan rangkaian tarif ke atas produk Australia.
Seorang penganalisis berkata pasaran serantau turut memperlihatkan prestasi bercampur-campur berikutan kebimbangan yang baharu muncul mengenai hala tuju perdagangan.
Sementara itu, Public Bank turun 52 sen kepada RM18.08, CIMB susut 10 sen kepada RM3.73 dan Sime Darby Plantation merosot lima sen kepada RM5.00.
Sebaliknya, Hong Leong Bank melonjak 92 sen kepada RM17.94 dan Tenaga Nasional menambah 14 sen kepada RM10.86.
Dalam kalangan saham paling cergas, AT Systematization dan Kanger International masing-masing tidak berubah pada 20 sen dan 18.5 sen, sementara Sapura Energy naik setengah sen kepada 12 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 28.70 mata kepada 11,570.73, Indeks FBMT 100 meningkat 23.50 mata kepada 11,344.65, Indeks FBM Emas Syariah menokok 86.03 mata kepada 13,354.94, FBM 70 naik 109.71 mata kepada 14,850.10 dan FBM ACE menambah 198.90 kepada 10,788.39.
Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.45 mata kepada 163.93, Indeks Perladangan 79.02 mata lebih tinggi pada 7.314.91 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 36.30 mata kepada 14.226.80.
– BERNAMA