KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) — Trend menaik di Bursa Malaysia berterusan sehingga berakhirnya sesi dagangan awal hari ini, dengan pengukuhan semula di kaunter Top Glove membantu menyumbang sebahagian besar keuntungan yang dicatatkan.
Pada rehat tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 6.73 mata kepada 1,519.80 daripada 1,513.07 ketika ditutup semalam.
Indeks utama dibuka rendah sebanyak 1.29 mata kepada 1,511,78 dan berlegar antara 1,503.43 dan 1,524.07 sepanjang sesi dagangan pagi.
Saham-saham untung mengatasi rugi dengan 549 berbalas 387 manakala 403 kaunter tidak berubah, 746 tidak diniagakan dan 41 lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 3.88 bilion unit bernilai RM2.39 bilion.
Prestasi pasaran juga adalah seiring dengan bursa serantau yang lain, sebahagiannya disokong oleh trend menaik pasaran minyak meskipun Wall Street mencatatkan penurunan.
Pasaran saham Amerika Syarikat terus tertekan oleh aktiviti jualan saham teknologi dengan Indeks Komposit Nasdaq menyusut 1.27 peratus kepada 10,910.3 mata.
Dow Jones ditutup 0.47 peratus lebih rendah pada 27,902.0 dan Indeks S&P 500 jatuh 0.84 peratus kepada 3,357.0 mata.
Di pasaran domestik, aktiviti membeli saham murah dalam sektor terpilih muncul selepas bursa mencatatkan kerugian semalam.
“Bagaimanapun, perolehan terhad kerana kerugian dalam sektor perbankan masih berterusan,” kata seorang penganalisis sambil menambah kaunter penjagaan kesihatan diniagakan dalam mod bercampur-campur.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Top Glove meningkat 19 sen kepada RM7.98, Hartalega 12 sen lebih kukuh pada RM14.22 dan TNB meningkat enam sen kepada RM11.10.
IHH meningkat tujuh sen kepada RM5.41 dan IOI 11 sen lebih baik kepada RM4.50.
Public Bank turun 22 sen kepada RM16.28 dan Sime Darby Plantation jatuh empat sen kepada RM5.09.
Saham-saham paling cergas pula, MCT naik dua sen kepada 21 sen sementara Kanger dan CME masing-masing menambah setengah sen kepada 30.5 sen dan 12 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 40.51 mata kepada 10,899.20 dan Indeks FBM Emas Shariah mengembang 74.25 mata kepada 12,863.78.
Indeks FBM 70 naik 15.45 mata kepada 14,004.77, Indeks FBMT 100 meningkat 38.54 mata kepada 10,716.16 dan FBM ACE melonjak 23.62 mata kepada 11,170.04.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan kekal dalam zon merah, turun 20.48 mata kepada 12,714.37, Indeks Perladangan naik 83.94 mata kepada 7,181.64 sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 0.95 mata kepada 136.86.
– BERNAMA