KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi lebih tinggi hari ini, dipacu aktiviti belian ketara bagi saham-saham pengeluar sarung tangan Hartalega dan Top Glove di tengah-tengah peningkatan semula kes jangkitan COVID-19 di peringkat global.
Pada rehat tengah hari ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 11.14 mata atau 0.70 peratus kepada 1,602.62 daripada 1,591.48 sewaktu pasaran ditutup pada Isnin.
Indeks utama itu dibuka meningkat 3.16 mata kepada 1,594.64 dan berlegar dalam jajaran 1,593.24 hingga 1,606.29 sepanjang sesi dagangan pagi ini.
Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 557 berbanding 461 manakala 390 kaunter tidak berubah, 601 tidak didagangkan dan 30 lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 7.47 bilion unit bernilai RM4.41 bilion.
Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata peningkatan kes jangkitan baharu COVID-19 dijangka terus memacu momentum belian bagi saham-saham berkaitan sarung tangan serta penjagaan kesihatan.
“Pada masa sama, kami berpendapat bahawa saham teknologi mungkin menarik minat susulan peningkatan semalaman Indeks Komposit NASDAQ (meningkat 1.7 peratus) yang ditutup rendah sedikit daripada paras tertinggi,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Bagaimanapun, firma pembrokeran itu percaya fasa konsolidasi di bursa tempatan itu akan berpanjangan dan sebarang peningkatan akan dijejaskan oleh aktiviti pengambilan untung.
“Namun, jumlah dagangan yang kekal tinggi itu menunjukkan bahawa peluang masih ketara dalam pasaran secara meluas dan saham-saham berharga rendah, khususnya saham yang disenaraikan di FBM ACE ketika pelabur meneruskan pencarian mendapatkan pulangan pelaburan yang tinggi,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Hartalega meningkat RM1.20 kepada RM19.50, Top Glove menokok 36 sen kepada RM26.24, Nestle untung RM1.90 kepada RM141.00, Hap Seng menambah 17 sen kepada RM8.82 manakala Maxis meraih lima sen kepada RM5.24.
Selain Nestle dan Hartalega, kaunter paling untung adalah DKSH yang menokok 41 sen kepada RM3.20 manakala Rubberex menambah 38 sen kepada RM4.38.
Supermax melonjak RM1.32 kepada RM18.76 manakala sembilan daripada warannya turut mendominasi senarai kaunter paling untung.
Bagi saham aktif, XOX meningkat 3.5 sen kepada 28 sen, AT Systematizaion menambah 1.5 sen kepada sembilan sen manakala Borneo Oil, Key Alliance adan Fintec masing-masing naik setengah sen kepada lima sen, 9.5 sen and 9.5 sen.
Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas naik 94.60 mata kepada 11,417.61, Indeks FBMT 100 menambah 93.98 mata kepada 11,253.35 dan Indeks FBM Emas Syariah melonjak 144.75 mata kepada 13,369.61.
FBM 70 juga menambah 183.49 mata kepada 14,522.91 manakala FBM ACE melonjak 205.61 mata kepada 8,469.78.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan menambah 8.19 mata kepada 7,170.30, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 1.11 mata kepada 141.23 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 32.55 mata kepada 13,390.63.
— BERNAMA