KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) — Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini sejajar dengan kebanyakan pasaran serantau lain mendapat rangsangan daripada momentum belian berterusan berikutan prospek ekonomi yang positif, kata para peniaga.
Pada penutup, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 9.97 mata kepada 1,599.66 selepas bergerak antara paras 1,587.06 dan 1,602.23 sepanjang hari dagangan.
Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 776 berbanding 532, manakala 388 kaunter tidak berubah, 468 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 16.10 bilion unit bernilai RM6.71 bilion daripada 12.58 bilion unit bernilai RM4.6 bilion pada Jumaat minggu lepas.
Seorang peniaga berkata para pelabur memberikan reaksi yang baik kepada permeteraian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) semalam, perjanjian perdagangan bebas serantau terbesar di dunia.
Seorang peniaga lain berkata petunjuk pasaran tempatan juga mendapat rangsangan daripada pengumuman Bank Negara Malaysia minggu lepas bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara susut hanya 2.7 peratus pada suku ketiga berbanding penguncupan 17.1 peratus pada suku kedua.
Bank pusat berkata prestasi KDNK yang bertambah baik itu adalah disebabkan oleh pembukaan semula ekonomi dan permintaan luar yang lebih baik.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 21 sen kepada RM8.14 dan Public Bank meningkat 72 sen kepada RM18.48, manakala TNB jatuh 12 sen kepada RM11.20, Top Glove susut 58 sen kepada RM7.20 dan Petronas Chemicals berkurangan 8.0 sen kepada RM6.70.
Dalam kalangan saham cergas, AT Systematization dan Nexgram naik setengah sen setiap satu masing-masing kepada 26 sen dan 6.5 sen, manakala Metronic Global meningkat 2.0 sen kepada 19 sen dan MTouche menokok 3.5 sen kepada 10.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 64.62 mata kepada 11,474.61, Indeks FBMT 100 meningkat 59.30 mata kepada 11,263.34, Indeks FBM Emas Shariah turun 141.38 mata kepada 13,185.65 dan FBM 70 menokok 34.51 mata kepada 14,657.49.
FBM ACE melonjak 345.64 mata kepada 11,570.39.
Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.68 mata kepada 157.20, Indeks Perladangan susut 26.80 mata kepada 7,277.40 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 575.87 mata kepada 13,143.88.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 7.35 bilion saham bernilai RM4.87 bilion daripada 6.5 bilion saham bernilai RM3.2 bilion pada Jumaat minggu lepas.
Jumlah dagangan waran naik kepada 1.05 bilion unit bernilai RM178.29 juta daripada 662.75 juta unit bernilai RM114.61 juta
Jumlah dagangan di Pasaran ACE menokok kepada 7.70 bilion saham bernilai RM1.69 bilion berbanding 5.41 bilion saham bernilai RM1.28 bilion sebelumnya.
Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 1.06 bilion saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (3.48 bilion), pembinaan (269 juta), teknologi (313.94 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (198.77 juta), hartanah (344.01 juta), perladangan (106.52 juta), REITs (11.48 juta), dana tertutup (49,100), tenaga (907.38 juta), penjagaan kesihatan (161.77 juta), telekomunikasi dan media (104.85 juta), pengangkutan dan logistik (266.20 juta) dan utiliti (131.99 juta).
— BERNAMA