KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) — Kegiatan pengambilan untung dan penjualan yang berterusan terutama membabitkan kaunter mewah menyebabkan keuntungan besar yang diraih semalam tidak dapat bertahan, sekali gus mengheret Bursa Malaysia untuk ditutup rendah petang ini.
Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bergerak antara untung dan rugi sebelum mengakhiri urus niaga 3.54 mata lebih rendah pada 1,598.72 berbanding 1,602.26 ketika ditutup semalam.
Indeks utama dibuka 2.23 mata lebih tinggi pada 1,604.49 dan berlegar antara 1,592.93 dan 1,605.60.
Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 640 berbalas 557 sementara 503 kaunter tidak berubah, 409 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.
Jumlah dagangan mengukuh kepada 9.22 bilion unit bernilai RM5.43 bilion daripada 9.19 bilion unit bernilai RM5.35 bilion pada Selasa.
Top Glove menyumbang kepada kerugian besar di Bursa Malaysia hari ini berikutan berita ia akan mungkin dihadapkan dengan tuduhan. Sebelum ini, syarikat berkenaan didapati melanggar Akta Standard Minima Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Selain itu, ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata beberapa pelabur telahpun mengaut keuntungan selepas peningkatan ketara saham AS untuk mencatatkan paras tertinggi.
Saham semalaman AS meningkat dengan Dow naik 0.6 peratus, sementara S & P500 menambah 1.1 peratus dan Nasdaq mengukuh 1.3 peratus untuk mencatatkan rekod baharu, dirangsang oleh harapan pemulihan ekonomi berikutan permohonan Pfizer dan BioNTech untuk mendapatkan kelulusan peraturan bagi vaksin COVID- 19 mereka di Kesatuan Eropah.
“Harapan untuk rangsangan ekonomi AS tambahan dan vaksin koronavirus terus menyokong pasaran dengan baik,” katanya kepada Bernama.
Pasaran Asia yang lain juga ditutup rendah, menghapus keuntungan awal dengan Indeks Straits Times Singapura kehilangan 0.23 peratus kepada 2,807.68, Indeks Hang Seng Hong Kong turun 0.13 peratus kepada 26,532.58 dan Indeks Komposit SSE Shanghai menyusut 0.07 peratus kepada 3,449.38.
Selain itu, pasaran turut mengambil sikap berhati-hati menjelang keputusan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya mengenai dasar pengeluaran mereka yang dijadual diumumkan esok.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Top Glove turun 11 sen kepada RM6.68, Axiata menyusut lapan sen kepada RM3.70, Dialog susut sembilan sen kepada RM3.61, Sime Darby Plantation lima sen lebih rendah kepada RM5.03.
Kaunter bank pula, Maybank naik lapan sen kepada RM8.27, Hong Leong Bank 22 sen lebih tinggi pada RM18.12 dan CIMB mengukuh empat sen kepada RM3.79.
Petronas Dagangan pula meningkat 52 sen kepada RM21.20.
Kaunter paling cergas, BioAlpha turun 4.5 sen kepada 31 sen, AT Systematization merosot 1.5 sen kepada 19.5 sen dan Lambo naik setengah sen kepada empat sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 8.11 mata kepada 11,561.52, Indeks FBMT 100 berkurangan 14.68 mata kepada 11,318.10 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 41.87 mata kepada 13,330.26.
FBM 70 meningkat 21.20 mata kepada 14,969.74 dan FBM ACE merosot 198.79 mata kepada 10,573.12.
Sementara itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.23 mata kepada 168.35, Indeks Perladangan turun 11.16 mata pada 7,339.12 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan berkembang 87.30 mata kepada 14,295.58.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 5.17 bilion saham bernilai RM4.36 bilion daripada 5.48 bilion saham bernilai RM4.19 bilion pada hari Selasa.
Perolehan waran, bagaimanapun, meningkat kepada 715.58 juta unit bernilai RM135.41 juta daripada 634.31 juta unit bernilai RM128.23 juta
Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 3.34 bilion saham bernilai RM935.06 juta daripada 3.07 bilion saham bernilai RM1.02 bilion sebelumnya.
Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 861.6 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (1.68 bilion), pembinaan (342.32 juta), teknologi (352.33 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (99.86 juta), hartanah (540.67 juta), perladangan (148.24 juta), REIT (13.35 juta), dana tertutup (56,000), tenaga (563.96 juta), penjagaan kesihatan (116 juta), telekomunikasi dan media (55.33 juta), pengangkutan dan logistik (283.96 juta), dan utiliti (113.06 juta).
– BERNAMA