KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) — Bursa Malaysia ditutup dalam julat negatif hari ini berikutan jualan besar-besaran di kaunter sarung tangan getah, iaitu Top Glove, Supermax dan Hartalega, masing-masing merosot lebih 1.0 peratus, menyebabkan Indeks Penjagaan Kesihatan Bursa Malaysia susut 0.7 peratus.
Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 6.74 mata kepada 1,594.80 daripada 1,601.54 semasa ditutup semalam.
Indeks dibuka tinggi 6.89 mata kepada 1,608.43 dan berada antara 1,594.31 dan 1,615.22 sepanjang hari.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 812 berbanding 347, manakala 413 kaunter tidak berubah, 549 tidak diniagakan dan 30 yang lain digantung.
Jumlah dagangan naik kepada 6.71 bilion unit bernilai RM4.28 bilion daripada 5.85 bilion unit bernilai RM4.38 bilion pada Rabu.
Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar US menjadi faktor utama kepada jualan besar-besaran di kaunter sarung tangan getah berikutan dolar yang rendah boleh menjejaskan jualan mereka susulan produk mereka dieksport ke negara lain.
“Pengukuhan ringgit hari ini dilihat sebagai meluas berbanding mata wang global selepas Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus semalam.
“Pasaran serantau lain seperti Singapura, Korea Selatan, Jepun dan China, masing-masing ditutup dalam zon hijau hari ini, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman di Wall Street yang kukuh, berikutan keyakinan pelabur mengenai pendapatan korporat yang baik dan prospek bahawa pakej rangsangan yang besar oleh pentadbiran AS yang baharu akan mendorong pertumbuhan,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank menambah 24 sen kepada RM21.56, Maybank susut empat sen kepada RM8.05, PChem berkurangan 19 sen kepada RM7.35, Tenaga merosot lapan sen kepada RM9.88 manakala Top Glove turun 12 sen kepada RM6.02.
Daripada saham cergas, Dagang NeXchange dan HPPHB, masing-masing menambah tiga sen kepada 25.5 sen dan 74 sen, manakala Lambo tidak berubah pada tiga sen.
AT Systematization dan Vsolar, masing-masing meningkat setengah sen kepada 18 sen dan empat sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 61.29 mata kepada 11,553.37, Indeks FBMT 100 berkurangan 52.55 mata kepada 11,269.31 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 95.68 mata kepada 12,985.68.
FBM 70 jatuh 88.05 mata kepada 14,822.52 dan FBM ACE susut 125.92 mata kepada 10,724.46.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 10.36 mata kepada 14,886.79, manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 1.87 mata kepada 177.89 dan Indeks Perladangan merosot 11.87 mata kepada 7,230.92.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 3.66 bilion saham bernilai RM3.25 bilion daripada 3.55 bilion saham bernilai RM3.47 bilion pada Rabu.
Jumlah dagangan waran susut kepada 359.04 juta unit bernilai RM60.06 juta daripada 368.51 juta unit bernilai RM62.1 juta.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE naik kepada 2.69 bilion saham bernilai RM973.91 juta daripada 1.93 bilion saham bernilai RM847.38 juta sebelum ini.
Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 714.27 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (1.08 bilion), pembinaan (110.13 juta), teknologi (925.56 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (76.12 juta), hartanah (217.24 juta), perladangan (57.08 juta), REIT (15.64 juta), dana tertutup (25,100), tenaga (221.98 juta), penjagaan kesihatan (72.63 juta), telekomunikasi dan media (52.24 juta), pengangkutan dan logistik (85.05 juta), dan utiliti (30.67 juta).
— BERNAMA