Aktiviti belian ketara membabitkan saham-saham berkaitan indeks, didahului pengeluar sarung tangan dan penjagaan kesihatan terbukti turut memacu indeks petunjuk utama Bursa Malaysia mengakhiri dagangan minggu ini secara positif serta seiring dengan prestasi kebanyakan pasaran serantau, kata peniaga.
Sewaktu ditutup, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.74 mata kepada 1,577.12 daripada 1,575.38 pada Rabu.
Indeks penanda aras itu dibuka susut 0.59 mata kepada 1,574.79 dan bergerak dalam aliran dagangan tidak menentu sekitar 1,568.98 hingga 1,579.01 pada dagangan hari ini.
Keuntungan yang diraih Top Glove, Hartalega dan IHH Healthcare terbukti menyumbang sejumlah 12.27 mata kepada indeks komposit berkenaan.
Sentimen pasaran secara amnya adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 708 berbanding 390 manakala 385 kaunter lain tidak berubah, 530 tidak diniagakan dan 25 lain digantung.
Jumlah dagangan bagaimanapun berkurangan kepada 7.73 bilion saham bernilai RM5.02 bilion daripada 8.56 bilion saham bernilai RM7.01 bilion pada Rabu.
Bursa Malaysia dan anak-anak syarikatnya ditutup pada Khamis bersempena cuti umum Maal Hijrah.
Di peringkat serantau, pasaran-pasaran Asia kebanyakannya meningkat, didahului oleh KOSPI Korea Selatan yang menokok 1.34 peratus, Indeks Hang Seng Hong Kong naik 1.30 peratus manakala Indeks Straits Times Singapura menambah 0.2 peratus.
Sementara itu, Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata pendapatan positif yang dicatatkan oleh kaunter dalam Indeks FBM KLCI seperti Petronas Gas juga menunjukkan ia tidak terkesan dengan peningkatan kadar pengangguran Amerika Syarikat, sekali gus memberi kenaikan kecil untuk persekitaran pasaran tempatan.
“Bagi asas setakat tahun ini, FBM KLCI terus menjadi pasaran dengan prestasi terbaik di ASEAN apabila hanya susut 0.7 peratus,” katanya kepada Bernama.
Jumlah rakyat Amerika Syarikat yang mendaftar bagi membuat tuntutan baharu manfaat pengangguran telah kembali melepasi angka tiga juta pada minggu lepas yang memburukkan lagi keadaan pasaran kerja di negara maju itu yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Seorang lagi peniaga berkata harapan bagi melihat kehadiran vaksin COVID-19 yang terus ketara, juga membantu prestasi bursa pada hari ini.
Saham-saham wajaran tinggi menyaksikan Top Glove untung 86 sen kepada RM 28.00, Hartalega meningkat 54 sen kepada RM 17.74 manakala IHH Healthcare menambah 21 sen kepada RM 5.58.
Maybank sebaliknya susut sembilan sen kepada RM7.55, Public Bank rugi 18 sen kepada RM17.30, Petronas Chemicals berkurangan lima sen kepada RM6.15 manakala Tenaga tidak berubah pada RM11.00.
Laporan media menyatakan Maybank adalah antara pemberi pinjaman terbesar di Malaysia untuk Genting Hong Kong Ltd dengan pendedahan pinjaman berjumlah US$350 juta, namun pembayaran berkaitan berkemungkinan besar digantung ekoran pengendali kapal persiaran yang berpejabat di Hong Kong itu terpaksa menjimatkan tunainya untuk terus beroperasi.
Petronas Gas yang sebelum ini melaporkan prestasi keuntungan bersih yang lebih baik bagi suku kedua, meningkat 46 sen kepada RM16.84.
Bagi saham-saham paling aktif, XOX meraih 1.5 sen kepada 21 sen, Solution meningkat 18.5 sen kepada 47.5 sen, Pegasus susut setengah sen kepada tiga sen manakala DGB tidak berubah pada 5.5 sen.
Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas menambah 51.84 mata kepada 11,350.08, Indeks FBM Emas Syariah menokok 149.44 mata kepada 13,429.81 manakala FBM 70 melonjak 195.26 mata kepada 14,736.28.
FBM ACE melonjak 640.36 mata kepada 10,921.88 dan FBMT 100 Indeks meningkat 46.56 mata kepada 11,159.24.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 19.12 mata kepada 7,039.66, Indeks Produk Industri dan Perkhidmatan menambah 0.39 mata kepada 142.27 namun Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 91.2 mata kepada 13,026.49.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama naik kepada meningkat kepada 4.08 bilion saham bernilai RM3.69 juta berbanding 3.88 bilion saham bernilai RM4.89 bilion pada Rabu.
Perolehan waran berkurangan kepada 543.82 juta unit bernilai RM168.75 juta berbanding 650.25 juta unit bernilai RM249.14 juta.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 3.1 bilion saham bernilai RM1.16 bilion daripada 4.02 bilion saham bernilai RM1.86 bilion pada Rabu.
Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 999.32 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan industri (981.16 juta), pembinaan (142.14 juta), teknologi (439.07 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (43.96 juta), hartanah (561.03 juta), perladangan (604.04 juta), REIT (5.95 juta), dana tertutup (100), tenaga (449.91 juta), penjagaan kesihatan (70.94 juta), telekomunikasi dan media (88.07 juta), pengangkutan dan logistik (193.58 juta) dan utiliti (44.12 juta).
— BERNAMA