KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) — Bursa Malaysia melepaskan keuntungan awal yang diperoleh untuk mengakhiri urus niaga hampir tidak berubah hari ini selepas terjejas oleh tekanan jualan dalam beberapa kaunter berwajaran tinggi.
Bagaimanapun, belian dalam kaunter perkhidmatan kewangan sedikit sebanyak membantu pasaran untuk bertahan.
Pada pukul 5 petang, indeks penanda aras utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 0.34 mata kepada 1,601.54 berbanding 1,601.88 ketika ditutup semalam.
Pagi ini, indeks utama dibuka 4.67 mata lebih tinggi pada 1,606.55 dan bergerak antara 1,601.54 dan 1,616.84.
Di pasaran yang lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 619 berbalas 528 manakala 469 kaunter tidak berubah, 489 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung urus niaga.
Jumlah dagangan merosot kepada 5.85 bilion unit bernilai RM4.38 bilion daripada 6.80 bilion unit bernilai RM4.82 bilion pada Selasa.
Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata pasaran hampir tidak berubah hari ini, merosot kurang daripada 0.1 peratus, terutamanya diseret oleh kaunter seperti Sime Darby, Petronas Dagangan dan IOI Corporation, yang semuanya turun lebih daripada 2.0 peratus.
Namun begitu, kaunter perbankan seperti CIMB, Hong Leong Bank, Public Bank, dan RHB Bank semuanya mencatatkan keuntungan yang sekali gus membantu menghapus beberapa kerugian yang dicatatkan di bursa tempatan.
“Sektor perbankan menyumbangkan lebih daripada 20.0 peratus daripada jumlah permodalan pasaran FBM KLCI, jadi, sebarang keuntungan di kaunter perbankan akan memberikan dorongan kepada pasaran tempatan.
“Antara yang mendorong kepada prestasi positif sektor perbankan ialah keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus yang membantu menghalang mampatan seterusnya dalam margin kadar faedah bersih bank,” kata beliau kepada Bernama.
Bagaimanapun, Adam berkata BNM dijangka memotong OPR pada mesyuarat berikutnya pada bulan Mac.
“Sebabnya adalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini telah dikuatkuasakan di semua negeri kecuali di Sarawak dan negara dijangka kerugian RM600.0 juta setiap hari, walaupun lebih kecil daripada kerugian harian sebanyak RM2.4 bilion dari bulan Mac hingga Mei 2020,” katanya.
Mengulas lanjut, Adam berkata Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion akan dibiayai oleh sumber dana yang kebanyakannya dari Belanjawan 2021 sedia ada dengan perbelanjaan yang lebih berhemat.
“Ini kemungkinan akan mengehadkan impak ke atas kedudukan fiskal kerajaan dan defisit fiskal juga kekal tidak berubah pada 5.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tahun 2021.’’
Hasilnya, kerajaan hanya mampu memfokuskan lebih kepada aspek sokongan monetari dengan mengurangkan OPR untuk mengekang impak daripada PKP 2.0 yang akan memberi pengaruh besar terhadap mobiliti manusia, kata Adam.
“Secara keseluruhan, kami mengulangi pandangan bahawa OPR akan dikurangkan sebanyak 25 mata asas dalam mesyuarat dasar BNM akan datang pada bulan Mac 2021 dengan mengambilkira keadaan yang disebutkan itu,” tambahnya.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Public Bank meningkat 42 sen kepada RM21.32, PChem naik tiga sen kepada RM7.54 dan Top Glove meningkat satu sen kepada RM6.14.
Sebaliknya, Maybank turun satu sen kepada RM8.09 dan Tenaga susut empat sen kepada RM9.96.
Kaunter paling cergas pula, HPPHB, yang mula disenaraikan hari ini, melonjak 35 sen kepada 71 sen, Anzo meningkat 2.5 sen kepada 10.5 sen sementara MTouche tidak berubah pada 6.5 sen.
Bagaimanapun, Widad turun setengah sen kepada 66 sen dan DGB Asia menyusut lima sen kepada 12.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 14.14 mata kepada 11,594.66, Indeks FBMT 100 meningkat 11.6 mata kepada 11,321.86, sementara Indeks FBM Emas Syariah turun 21.98 mata kepada 13,081.36.
Indeks FBM 70 pula menokok 69.72 mata kepada 14,910.57 dan FBM ACE lebih tinggi 56.01 mata kepada 10,850.38.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 114.22 mata kepada 14,876.43, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.75 mata kepada 179.76 sementara Indeks Perladangan susut 46.64 mata kepada 7.242.79.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 3.55 bilion saham bernilai RM3.47 bilion berbanding 3.89 bilion saham bernilai RM3.62 bilion pada hari Selasa.
Perolehan waran berkurangan kepada 368.51 juta unit bernilai RM62.1 juta daripada 441.37 juta unit bernilai RM62.91 juta.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 1.93 bilion saham bernilai RM847.38 juta berbanding 2.46 bilion saham bernilai RM1.14 bilion sebelumnya.
Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 709.12 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (1.11 bilion), pembinaan (265.87 juta), teknologi (347.04 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (100.65 juta), hartanah ( 249.98 juta), perkebunan (62.48 juta), REIT (15.4 juta), dana tertutup (86,000), tenaga (262.77 juta), penjagaan kesihatan (72.73 juta), telekomunikasi dan media (52.54 juta), pengangkutan dan logistik (263.38 juta) dan utiliti (37.7 juta).
— BERNAMA