KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) — Urus niaga di Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur pada petang Selasa dengan indeks utama berada dalam zon positif, disokong oleh kaunter berwajaran tinggi terpilih.
Pada pukul 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 2.73 mata atau 0.17 peratus kepada 1,569.87 daripada 1,567.14 ketika ditutup pada petang Isnin.
Pagi ini, indeks utama dibuka 4.89 mata lebih tinggi pada 1,572.03 dan bergerak antara 1,568.67 dan 1,583.43 pada sepanjang hari urus niaga.
Pergerakan harga di pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 677 berbalas 485 manakala 466 kaunter tidak berubah, 525 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.
Jumlah dagangan mengukuh kepada 12.89 bilion unit daripada RM6.42 bilion berbanding 10.69 bilion unit bernilai RM6.10 bilion pada Isnin.
Ketua Penyelidikan Rakutan Trade Sdn Bhd Kenny Yee berkata aktiviti jualan muncul pada lewat urus niaga berikutan aktiviti pengambilan untung.
“Pasaran memulakan urus niaga dengan amat baik hari ini tetapi tidak lama kemudian, kami menyaksikan penjual muncul kembali, mengaut keuntungan daripada kenaikan hari ini. Pada masa yang sama, jualan berterusan membabitkan kaunter syarikat sarung tangan getah juga dapat dilihat,” kata beliau kepada Bernama.
Bank Negara Malaysia akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pada Khamis dan pemerhati pasaran berkata bank pusat mungkin akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.
“Saya tidak fikir BNM akan melakukan perubahan ke atas OPR. Tidak perlu sebarang penurunan lagi pada masa ini kerana kita telahpun berada di peringkat pemulihan. Mungkin mereka akan melihat bagaimana pemulihan itu berjalan memandangkan kita masih dalam peringkat vaksinasi.
“Bank pusat mungkin mahu melihat tahap pemulihan terlebih dahulu sebelum mereka membuat keputusan terhadap kadar faedah,” kata Yee.
Saham pembuat sarung tangan, Top Glove turun 15 sen kepada RM4.75, Supermax susut 25 sen kepada RM4.11 tetapi Hartalega naik tiga sen kepada RM9.41.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi lain, Maybank, Public Bank dan Petronas Chemicals masing-masing menambah dua sen kepada RM8.08, RM4.22 dan RM7.53, sementara TNB naik empat sen kepada RM10.36, IHH Healthcare melonjak 21 sen kepada RM5.50, CIMB naik enam sen kepada RM4.28 dan Press Metal turun lima sen kepada RM9.70.
Antara saham paling cergas, Aimflex meningkat enam sen kepada 31.5 sen, Straits Inter Logistics naik satu sen kepada 21 sen, Grand-Flo menambah 23.5 sen kepada 68 sen, GFM Services turun 12.5 sen kepada 28 sen, AirAsia X turun setengah sen kepada sembilan sen dan AT Systemarization turun satu sen kepada 11.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 14.31 mata kepada 11,576.52, Indeks FBMT 100 lebih tinggi sebanyak 26.43 mata kepada 11,274.72, dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 1.75 mata kepada 12,890.55.
FBM 70 mengukuhkan 62.51 mata kepada 15,535.84 dan FBM ACE kerugian 134.01 mata kepada 10,571.36.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.08 mata kepada 184.04, Indeks Perladangan menyusut 12.91 mata kepada 7,139.28 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 73.18 mata kepada 15,032.83.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 7.38 bilion saham bernilai RM5.03 bilion daripada 6.74 bilion saham bernilai RM5.0 bilion pada hari Isnin.
Jumlah dagangan waran mengukuh kepada 480.88 juta unit bernilai RM85.15 juta daripada 473.98 juta unit bernilai RM79.35 juta semalam.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 5.03 bilion saham bernilai RM1.31 bilion daripada 3.47 bilion saham bernilai RM1.0 bilion pada hari Isnin.
Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 1.48 bilion saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (2.67 bilion), pembinaan (271.47 juta), teknologi (1.06 bilion), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (115.49 juta), hartanah (468.22 juta), perladangan (74.01 juta), REIT (9.27 juta), dana tertutup (24,700), tenaga (525.52 juta), penjagaan kesihatan (175.81 juta), telekomunikasi dan media (137.47 juta), pengangkutan dan logistik (125.10 juta) dan utiliti (257.91 juta).
– BERNAMA