KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi lebih tinggi, dipacu oleh minat belian berterusan selepas FTSE Russell mengambil keputusan untuk mengekalkan Malaysia di dalam senarai pemerhatiannya.
Pada pukul 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 8.1 mata atau 0.54 peratus kepada 1,508.9 daripada 1,500.8 ketika ditutup pada Khamis.
Ia berlegar antara 1,505.05 dan 1,516.0 sepanjang sesi pagi selepas dibuka 7.15 mata pada 1,507.95.
Untuk pergerakan pasaran secara meluas, saham untung mengatasi rugi 466 berbalas 376 manakala 451 kaunter tidak berubah, 788 tidak diniagakan dan 21 lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 3.20 bilion saham bernilai RM2.34 bilion.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM7.11, Top Glove melonjak 12 sen kepada RM8.67, TNB menambah lapan sen kepada RM10.90, Public Bank mengukuh dua sen kepada RM15.54 dan Hartalega lebih tinggi sebanyak RM1 kepada RM16.90.
Sime Darby Plantation tidak berubah pada RM5.05, IHH Healthcare turun dua sen kepada RM5.23 dan MISC lebih rendah sebanyak lapan sen kepada RM7.37.
Saham paling cergas pula, Advance Synergy naik 2.0 sen kepada 19 sen, Sapura Energy dan Pegasus Heights masing-masing tidak berubah pada 11 sen dan 2.5 sen, sementara MTouche berkurangan setengah sen kepada enam sen dan Kanger International turun satu sen kepada 22.5 sen .
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 57.93 mata kepada 10,827.43 dan Indeks FBM Emas Shariah mengukuh 95.15 mata kepada 12,925.17.
Indeks FBM 70 menambah 73.92 mata kepada 13,991.94, Indeks FBMT 100 lebih tinggi 56.97 mata kepada 10,656.06 dan FBM ACE menyusut 120.32 mata kepada 10,113.42.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 16.90 mata kepada 12.352.34, Indeks Perladangan turun 24.18 mata kepada 7.047.57 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri lebih rendah 0.99 mata kepada 133.19.
– BERNAMA