KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) — Indeks utama Bursa Malaysia mencatat prestasi bercampur-campur ketika mengakhiri dagangan pagi ini selepas penyusutan dialami terutamanya membabitkan sektor penjagaan kesihatan dan hartanah.
Pada 12.30 tengah hari ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.27 mata kepada 1,636.96 daripada 1,636.69 yang diraih sewaktu pasaran ditutup semalam.
Di peringkat pasaran secara meluas bagaimanapun negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 560 berbanding 527 manakala 391 kaunter tidak berubah, 621 tidak diniagakan dan 24 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 3.73 bilion unit bernilai RM2.55 bilion.
Seorang penganalisis berkata pasaran serantau dalam keadaan positif walaupun Wall Street mencatat peningkatan sederhana dengan Bursa Malaysia dilihat menjejaki pergerakan sebelum ini.
Bagaimanapun, Indeks Penjagaan Kesihatan diasak tekanan dengan mencatat penurunan lebih 2.1 peratus terutamanya akibat penurunan saham-saham pengeluar sarung tangan yang berkemungkinan disebabkan oleh aktiviti pengambilan untung.
Malah, beliau berkata aktiviti pengambilan untung itu turut dilihat dalam kaunter tertentu selepas Bursa Malaysia mencatat peningkatan semalam.
AmInvestment Bank Bhd semalam menyatakan purata harga jualan (ASP) bagi sarung tangan getah dijangka susut berikutan ketiadaan desakan ketara untuk produk itu berbanding tempoh awal pandemik COVID-19.
“Kami menjangkakan ASP akan mula susut selepas separuh pertama 2021 berikutan permintaan yang kukuh sejak sembilan bulan lepas,” katanya.
Saham pengeluar sarung tangan mendahului kerugian dialami saham wajaran tinggi dengan Top Glove susut 27 sen to RM6.36, Hartalega rugi 64 sen kepada RM12.26 dan Supermax turun 40 sen kepada RM6.71.
Press Metal menokok 38 sen kepada RM8.66 manakala PetChem menambah 13 sen kepada RM7.55.
Maybank pula naik sembilan sen kepada RM8.39 manakala IHH menokok lapan sen kepada RM5.53.
Bagi saham aktif, PNE susut 10.5 sen kepada 52.5 sen manakala Techna-X dan Iris masing-masing naik 1.5 sen kepada 16 sen dan 40 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 0.13 mata kepada 11,748.63, Indeks FBMT 100 susut 0.86 mata kepada 11,489.39 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 36.07 mata kepada 13,218.91.
FBM 70 pula merosot 11.97 mata kepada 14,809.11 dan FBM ACE adalah turun 2.23 mata kepada 10.689.80.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 103.70 mata kepada 15,169.44, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 2.70 mata kepada 178.24 dan Indeks Perladangan merosot 11.02 mata kepada 7,472.10.
— BERNAMA