KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) — Bursa Malaysia menepis kebimbangan mengenai ketegangan yang kian memuncak antara Amerika Syarikat dan China dengan mengakhiri sesi pagi ini lebih tinggi, dengan minat belian ke atas kaunter sarung tangan berterusan.
Pada waktu rehat, petunjuk utama pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 4.56 mata, atau 0.29 peratus kepada 1,594.17 daripada 1,589.61 ketika ditutup pada Jumaat.
Indeks utama dibuka 5.07 mata lebih tinggi pada 1,594.68.
Pergerakan harga keseluruhan pasaran kekal positif dengan saham untung mengatasi saham rugi 510 berbalas 448, manakala 392 kaunter tidak berubah, 659 tidak diniagakan dan 28 lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 6.31 bilion unit bernilai RM3.34 bilion.
Senarai kaunter untung teratas dikuasai oleh saham sarung tangan dengan didahului oleh Kossan, melonjak RM1.38 kepada paras tertinggi RM15.18. Careplus naik 53 sen kepada RM2.99, Comfort menambah 43 sen kepada RM4.63, Rubberex 34 sen lebih tinggi kepada RM3.92 manakala Pharmaniaga naik 49 sen kepada RM4.12.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Hartalega melonjak 30 sen kepada RM17.98 dan Top Glove menokok 34 sen kepada RM25.78.
KLK pula untung RM1.18 kepada RM23.88, IOI Corp dan Tenaga, masing-masing meningkat lapan sen kepada RM4.55 dan RM11.32 sementara Petronas Gas meraih 12 sen kepada RM16.40 dan Dialog menokok empat sen kepada RM3.83.
Seorang peniaga berkata Malaysia yang kembali mencatatkan kes dua digit untuk COVID-19 telah mencetuskan kebimbangan akan berlakunya gelombang kedua di dalam negara, sekali gus melonjakkan permintaan untuk saham berkaitan sarung tangan.
“Sementara itu, berita kerajaan akan memperkenalkan semula perintah kawalan pergerakan sekiranya bilangan kes COVID mencapai tiga digit, adalah antara sebab mendorong pelabur terus meminati saham berkaitan sarung tangan,” kata beliau.
Malaysia mencatatkan 13 kes baharu COVID-19 pada Ahad, menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 8,897. Negara juga mencatatkan satu kematian ekoran jangkitan virus itu pada Ahad, menjadikan jumlah kematian kepada 124 setakat ini.
Dalam kalangan saham paling cergas, XOX meningkat 3.5 sen kepada 21.5 sen, Iris naik empat sen kepada 33.5 sen, Borneo Oil menambah satu sen kepada 4.5 sen, PDZ pula 1.5 sen lebih tinggi kepada 16.5 sen manakala Bioalpha susut satu sen kepada 28.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 39.13 mata kepada 11,311.31, Indeks FBMT 100 mengukuh 35.49 mata kepada 11,149.54 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 87.48 mata kepada 13,185.53.
Indeks FBM 70 pula melambung 59.39 mata kepada 14,213.67 dan FBM ACE melonjak 340.10 mata kepada 8,238.16.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 25.97 mata kepada 13,391.66, Indeks Perladangan mengukuh 112.70 mata kepada 7,227.73 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 0.02 mata kepada 139.67.
–BERNAMA