KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi dalam zon positif tetapi keuntungan turun sedikit kerana kerugian yang dicatatkan pada kaunter kewangan semakin melebar.
Pada pukul 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.82 mata kepada 1,507.67, terus disokong oleh Top Glove dan Hartalega.
Indeks utama dibuka 8.58 mata lebih tinggi kepada 1,513.43 hari ini berbanding 1,504.85 ketika ditutup pada Jumaat.
Ia bergerak antara 1,506.41 dan 1,515.66 sepanjang sesi pagi.
Jumlah dagangan ialah 5.53 bilion saham bernilai RM3.64 bilion.
Kenanga Research berkata berikutan jualan berleluasa dalam kaunter saham sarung tangan minggu lepas, para pelabur bersemangat untuk mengetahui pendapatan sukuan terkini Top Glove yang dijadual dikeluarkan pada Khamis.
“Keputusan kewangan yang bakal diumumkan serta reaksi ke atas harga saham untuk syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu kemudiannya mampu memberikan gambaran kepada yang lain, yang mana pergerakan saham syarikat-syarikat ini diharapkan dapat menentukan rentak pasaran secara keseluruhan,” katanya dalam satu nota.
Syarikat-syarikat tersenarai lain yang akan mengumumkan laporan suku tahunan masing-masing termasuklah Astro Malaysia pada Selasa.
Di pasaran luar negara, antara yang akan menjadi tumpuan ialah keputusan mesyuarat dasar Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS pada Rabu berkenaan dengan jangkaan kadar faedah AS.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Top Glove dan Hartalega masing-masing meningkat 73 sen dan 38 sen kepada RM8.49 dan RM12.82.
TM meningkat 12 sen pada RM4.18, MISC menambah lima sen kepada RM7.60 dan Sime Darby menokok tiga sen kepada RM2.30.
Dialog tidak berubah pada RM3.65. Pada Jumaat lepas, syarikat itu mengumumkan rancangannya untuk mengumpul sehingga RM3 bilion melalui sukuk kekal untuk membiayai pelaburan, pemerolehan, pembiayaan semula hutang serta keperluan modal kerja.
Sebaliknya pula, IHH turun 21 sen kepada RM5.29, Maybank jatuh 15 sen kepada RM7.30, TNB susut 20 sen kepada RM11.22, PetChem merosot empat sen kepada RM5.60, sementara Public Bank dan CIMB masing-masing berkurangan enam sen dan dua sen kepada RM16.02 dan RM3.15.
Saham-saham paling cergas pula, Parkson naik 11 sen kepada 20.5 sen, Kanger meningkat 4.5 sen kepada 30.5 sen, Hiap Teck menambah tiga sen kepada 21 sen dan XOX kekal pada 20 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkembang 65.03 mata kepada 10,816.51 dan Indeks FBM Emas Shariah mengukuh 142.31 mata kepada 12,784.85.
FBM 70 melonjak 221.25 mata kepada 13,893.64, Indeks FBMT 100 meningkat 57.25 mata pada 10,630.79 dan FBM ACE melonjak 473.77 mata kepada 10,949.64.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 96.99 mata kepada 12,568.46, Indeks Perladangan meningkat 12.35 mata kepada 7,020.23 sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.67 mata kepada 136.01.
– BERNAMA