KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) — Bursa Malaysia kekal positif ketika mengakhiri sesi dagangan pagi sementara para pelabur masih menantikan perkembangan selanjutnya menjelang sesi undian Belanjawan 2021 tengah hari ini.
Setakat pukul 12.30 tengah hari ini, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 4.26 mata kepada 1,601.84 berbanding 1,597.58 ketika ditutup semalam.
Pasaran dibuka tinggi sedikit sebanyak 0.11 mata kepada 1,597.69 sebelum jatuh seminit kemudian dan seterusnya kembali ke zon positif.
Jurang antara kaunter untung dan rugi mengecil dengan 554 berbalas 481 sementara 790 kaunter tidak berubah, 353 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 4.16 bilion unit bernilai RM1.98 bilion.
Seorang penganalisis berkata trend menaik di FBM KLCI dipacu oleh pelabur institusi yang akan memberikan sedikit sokongan kepada indeks sekiranya berlaku penyesuaian ke atas Belanjawan.
“Sekiranya terdapat berita positif sebelum sesi undian, pasaran akan terus meningkat. Kalau digabungkan dengan persekitaran ekuiti global yang lebih baik, KLCI memang cenderung untuk bergerak tinggi, tetapi ia bergantung sepenuhnya kepada pungutan suara yang bakal menentukan hala tuju belanjawan itu,” kata beliau.
Di Bursa Malaysia, Top Glove melonjak 27 sen kepada RM6.92, dirangsang oleh belian balik saham, diikuti oleh Telekom Malaysia yang menambah 18 sen kepada RM5.02, IHH naik empat sen kepada RM5.60 dan Axiata meningkat tiga sen kepada RM3.35.
Dalam kalangan saham paling cergas, Vivocom turun 14 sen kepada 71.5 sen, AT Systematization naik dua sen kepada 19 sen dan Xidelang tidak berubah pada tujuh sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 42.95 mata pada 11,483.02, Indeks FBMT 100 menokok 41.34 mata kepada 11,271.20, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 104.39 mata kepada 13,198.30 dan FBM 70 megembang 98.44 mata kepada 14,638.02.
FBM ACE naik 58.66 mata kepada 10,638.13, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.27 mata kepada 158.88, Indeks Perladangan turun 2.20 mata kepada 7,311.33, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 65.59 mata kepada 14,161.82.
– BERNAMA