KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) — Dagangan di Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi lebih tinggi hari ini, disokong oleh kegiatan belian membabitkan kaunter produk pengguna dan perkhidmatan terpilih meskipun sentimen pasaran serantau agak lemah.
Ketika dagangan berhenti rehat tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.03 mata kepada 1,572.89 berbanding 1,570.86 semalam.
Indeks utama dibuka 0.23 mata lebih tinggi pada 1,571.09 dan bergerak antara 1,565.74 dan 1,574.29 sepanjang sesi urus niaga.
Pergerakan harga di pasaran berubah kepada positif apabila kaunter untung mendahului kaunter rugi dengan julat tipis 434 berbalas 432 sementara 440 kaunter tidak berubah, 891 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 3.25 bilion unit bernilai RM1.65 bilion.
Menurut pedagang ActivTrades Anderson Alves, ekuiti Asia diniagakan secara mendatar pada hari Jumaat selepas sesi bercampur-campur semalaman di Wall Street.
“Bank-bank pusat masih menjadi perhatian dengan Bank of Japan (BOJ) dijangka mengekalkan kadar faedah pada -0.10 peratus dan Hasil 10 Tahun Jepun diunjurkan pada sifar peratus yang mempunyai jalur ambang +/- 25 mata asas.
“BOJ juga mungkin melanjutkan tarikh akhir September untuk program bantuan pandemik,” katanya.
Di bursa tempatan, saham berwajaran tinggi Maybank dan Public Bank masing-masing menambah 1.0 sen kepada RM8.18 dan RM4.20, TNB naik 2.0 sen kepada RM9.97, sementara Petronas Chemicals turun 6.0 sen kepada RM8.02 dan IHH Healthcare menyusut 1.0 sen hingga RM5.67.
Bagi saham aktif, MMAG turun setengah sen kepada 18.5 sen, Euro Holdings merosot 1.5 sen kepada RM1.06 sen, Vsolar menokok setengah sen kepada 2.0 sen dan Serba Dinamik tidak berubah pada 63 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 16.93 mata kepada 11,502.81, Indeks FBMT 100 menambah 17.27 mata kepada 11,191 dan FBM ACE melonjak 94.04 mata kepada 7,670.13.
Indeks FBM Emas Syariah pula lebih tinggi sebanyak 31.90 mata kepada 12,645.96, sementara FBM 70 meningkat 34.22 mata kepada 15,017.18.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 0.88 mata kepada 15,293.48, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.49 mata kepada 192.28, dan Indeks Perladangan berkurangan 14.49 mata kepada 6,528.51.
– BERNAMA