KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi ini lebih rendah hari ini berikutan sentimen pasaran yang lemah.
Pada pukul 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 12.09 mata kepada 1,454.80 selepas dibuka 1.42 mata lebih rendah pada 1,465.47.
Indeks utama bergerak antara 1,452.13 dan 1,467.27 sepanjang sesi pagi.
Kaunter rugi mengatasi untung dengan 774 berbalas 197, manakala 338 kaunter tidak berubah, 781 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 2.83 bilion unit bernilai RM1.55 bilion.
Indeks tenaga paling teruk terjejas setakat ini, merosot 2.88 peratus, diikuti dengan penjagaan kesihatan sebanyak 2.77 peratus.
Kemerosotan dalam indeks tenaga ialah kerana kejatuhan harga minyak penanda aras Brent yang menyusut di bawah paras US$40 setong berikutan permintaan dan tinjauan yang lesu sementara penjagaan kesihatan pula disebabkan oleh kegiatan penjualan.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, kemudahruapan di pasaran tidak akan berubah kerana beberapa faktor seperti meningkatnya ketegangan politik di dalam negara, pilihan raya AS yang bakal berlangsung dan lonjakan kes COVID-19 seluruh dunia.
“Kami berpendapat situasi tidak menentu ini mungkin berterusan minggu ini kerana sentimen berhati-hati para pelabur.
“Saham berharga murah dijangka bergerak tidak menentu memandangkan pelabur memilih untuk mengambil pendekatan tunggu dan lihat,” katanya.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Top Glove turun 37 sen kepada RM8.20, MISC jatuh enam sen kepada RM6.53, Dialog susut 10 sen kepada RM3.60, Hartalega berkurangan 12 sen kepada RM17.88, Petronas Chemicals lebih rendah empat sen kepada RM5.81 dan Maybank turun dua sen kepada RM6.98.
Bagi kaunter paling cergas, kaunter teknologi yang didahului oleh Lambo Group turun setengah sen pada 2.5 sen manakala AT Systematization lega satu sen kepada 9.0 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 114.01 mata kepada 10,499.57, Indeks FBMT 100 turun 108.14 mata pada 10,324.49 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 161.78 mata kepada 12,579.90.
Sementara itu, FBM 70 merosot 230.92 mata kepada 13,754.17 dan FBM ACE lebih lemah 148.39 mata pada 9,294.81.
Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 65.14 mata kepada 11,944.25, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.32 mata kepada 139.82, dan Indeks Perladangan lebih rendah 12.12 mata kepada 6,789.78.
– BERNAMA