KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) — Bursa Malaysia meneruskan keuntungan untuk mengakhiri sesi pagi lebih kukuh, didorong oleh sentimen positif di pasaran selepas Belanjawan 2021 diluluskan di Parlimen semalam.
Pergerakan di pasaran tempatan seiring dengan bursa serantau lain, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman saham-saham AS yang melonjak dengan ketara selepas pelabur memberi tindak balas kepada tanda-tanda bahawa rang undang-undang pakej rangsangan fiskal akan diluluskan tidak lama lagi, kata para peniaga.
Indeks penanda aras utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 12.21 mata kepada 1,686.23 daripada 1,674.05 ketika ditutup sebelumnya.
Pagi ini, indeks utama dibuka 20.31 mata lebih tinggi kepada 1,694.33 dan bergerak antara 1,685.48 dan 1,695.87 sepanjang sesi itu.
Di pasaran lebih meluas, kaunter untung mengatasi rugi 791 berbalas 380 manakala 466 kaunter tidak berubah, 507 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 6.72 bilion unit bernilai RM2.74 bilion.
Di pasaran serantau, Bursa Saham Shanghai China meningkat 0.18 peratus kepada 3,373,16, Indeks Straits Times Singapura menambah 0.40 peratus kepada 2,868,12 dan Nikkei 225 Jepun naik 0.13 peratus kepada 26,723,49, dan Indeks Hang Seng Hong Kong menokok 0.82 persen menjadi 26,422.87.
Seorang peniaga berkata bursa tempatan diniagakan tinggi pada sesi pagi, dipacu oleh limpahan positif kegiatan membeli selepas Belanjawan 2021 diluluskan semalam.
“Sentimen pasaran kekal kukuh dengan minat belian berterusan dilihat untuk saham berwajaran tinggi,” katanya.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank menambah empat sen kepada RM8.89, Public Bank naik 32 sen kepada RM22.00 dan Top Glove meningkat 34 sen kepada RM6.75.
Petronas Chemicals turun 44 sen kepada RM7.52, sementara Tenaga tidak berubah pada RM10.80.
Untuk kaunter paling cergas pula, Sino Hua-An dan Dynaciate masing-masing meningkat satu sen kepada 21.5 sen dan 13 sen, waran Bina Puri meningkat tiga sen kepada 7.5 sen, waran Tiger Synergy menokok lapan sen kepada 9.5 sen sementara waran Focus Dynamics tidak berubah pada 3.5 sen .
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 105.42 mata kepada 12,114.45, Indeks FBMT 100 melonjak 101.36 mata kepada 11,877.25, FBM 70 melambung 192.47 mata kepada 15,473.60, FBM ACE naik 80.92 mata kepada 10,772.24, dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 133.62 mata kepada 13,430.58.
Sementara itu, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 71.91 mata kepada 16,023.63, Indeks Perladangan turun 3.45 mata kepada 7,388.44, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 2.32 mata kepada 175.33.
– BERNAMA