KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi urus niaga pagi hari ini bercampur-campur dengan indeks utama meningkat 0.24 peratus, didorong oleh kegiatan belian membabitkan kaunter berwajaran tinggi termasuk perbankan.
Ini selepas Bank Negara Malaysia mengambil keputusan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus semalam.
Pada pukul 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.81 mata kepada 1,585.07 daripada 1,581,26 pada penutupan petang Khamis.
Indeks utama bergerak antara 1,579.74 dan 1,587.97 sepanjang urus niaga pagi.
Pergerakan harga di pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 642 berbalas 393 sementara 416 kaunter tidak berubah, 704 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.
Jumlah dagangan ialah 4.60 bilion unit bernilai RM2.61 bilion.
Terdahulu dalam satu nota penyelidikan, Malacca Securities Sdn Bhd mengunjurkan bursa tempatan akan terus stabil dengan peserta pasaran mungkin berurus niaga dengan tahap yang lebih berhati-hati.
“Namun begitu, kami menjangkakan peniaga akan bersiap sedia dengan tema pemulihan berikutan pelancaran program vaksinasi.
Sementara itu, harga minyak Brent melonjak kukuh melepasi paras US$65 yang akan melonjakkan sentimen pasaran,” tambahnya.
Bagi saham berwajaran tinggi, Petronas Chemicals naik sembilan sen kepada RM7.84, CIMB dan Top Glove masing-masing meningkat tujuh sen kepada RM4.44 dan RM5.03, Public Bank meningkat tiga sen kepada RM4.26, Hong Leong Bank mengukuh 24 sen kepada RM18.66, Maybank lebih tinggi empat sen pada RM8.24 dan RHB Bank meningkat 10 sen kepada RM5.42.
TNB menyusut enam sen kepada RM10.34, IHH Healthcare dan Press Metal masing-masing turun 15 sen kepada RM5.32 dan RM9.57 sementara Sime Darby Plantation lebih rendah lima sen kepada RM4.90.
Antara saham paling cergas, TH Heavy Engineering naik 1.5 sen pada 13.5 sen, Techna-X menokok satu sen kepada 15 sen, SYF Resources bertambah 10 sen kepada 47 sen, Velesto dan Sapura Energy kedua-duanya naik setengah sen kepada 17 sen dan 15 sen sementara Bumi Armada naik dua sen kepada 44.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 7.91 mata kepada 11,612.76, Indeks FBMT 100 susut 2.72 mata kepada 11,313.54, Indeks FBM Emas Syariah lebih rendah 40.84 mata kepada 12,876.22, FBM ACE mengecil 46.45 mata kepada 10,347.81 dan FBM 70 merosot 119.05 mata kepada 15,319.94.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 84.49 mata kepada 15,272.14, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.67 mata kepada 184.51 dan Indeks Perladangan turun 26.12 mata kepada 7,123.34.
– BERNAMA