KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) — Perang teknologi antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin meningkat menyebabkan Bursa Malaysia mencatatkan dagangan tidak menentu dan ditutup rendah hari ini.
Pada penutup, saham berkaitan teknologi menjejaki aliran penurunan Nasdaq susulan Presiden AS Donald Trump menandatangani perintah eksekutif yang melarang penduduk AS daripada menjalankan sebarang perniagaan dengan WeChat, TikTok atau pemilik aplikasi dari China berikutan Washington mahu mengekang dominasi China dalam teknologi global.
Indeks teknologi susut 3.33 peratus dengan Malaysian Pacific Industries mendahului kaunter rugi dengan merosot 2.40 peratus kepada RM14.62.
Sementara itu, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.65 peratus kepada 1,578.14 daripada 1,588.57 semasa ditutup semalam berikutan jualan besar-besaran dalam saham wajaran tinggi penjagaan kesihatan, Hartalega dan Top Glove susulan aktiviti pengambilan untung yang menyebabkan indeks petunjuk pasaran merosot 6.10 mata.
Indeks utama, yang dibuka tinggi kepada 1,590.54, berada antara 1,578.14 dan 1,591.08 hari ini.
Jumlah dagangan mencatatkan satu lagi paras tertinggi, didorong oleh dagangan yang tinggi untuk saham berharga rendah, terutamanya kaunter berkaitan teknologi.
Jumlah dagangan melonjak kepada 26.65 bilion saham bernilai RM9.04 bilion daripada 16.68 bilion saham bernilai RM8.56 bilion semalam.
Suasana pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 794 berbanding 435, manakala 316 kaunter tidak berubah, 434 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.
Seorang penganalisis berkata pasaran ditutup rendah secara menyeluruh berikutan perang teknologi antara Washington dan Beijing, yang menyebabkan bursa di Asia merosot, terutamanya di Hong Kong dan China.
Indeks Hang Seng Hong Kong merosot 1.6 peratus kepada 24,531.62 manakala Indeks Komposit Shanghai susut 0.96 peratus kepada 3,354.03.
“Memandangkan perang teknologi menyebabkan dua negara itu tidak sehaluan, kami menjangka bursa tempatan akan terus menerima tekanan yang membawa kepada sentimen penghindaran risiko, menjejaki pergerakan global,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Kenny Yee berkata jumlah dagangan tinggi yang diniagakan pada minggu ini mencerminkan kerancakan bursa tempatan.
“Ini petunjuk yang baik kepada pasaran ekuiti tempatan, berikutan ia menunjukkan minat yang tinggi dalam kalangan pelabur asing,” katanya.
Sebanyak 21 daripada 30 saham komponen FBM KLCI mencatatkan jualan besar-besaran, termasuk Hartalega (susut 66 sen kepada RM19.14), Top Glove (merosot 26 sen kepada RM28.14), Public Bank (jatuh 22 sen kepada RM16.76) dan Nestle (berkurangan RM3.00 kepada RM140.10).
Daripada saham paling aktif, Borneo Oil menambah 2.5 sen kepada 7.5 sen, manakala Trive dan Eduspec, masing-masing meningkat satu sen kepada dua sen dan 2.5 sen.
Dalam kalangan kaunter paling rugi, Nestle susut RM3.00 kepada RM14.10, Adventa turun RM1.05 kepada RM3.66 dan F&N merosot 90 sen kepada RM32.08.
Daripada kaunter paling untung, PPB naik 34 sen kepada RM19.24 manakala Oversea Enterprise dan KSSC, masing-masing meningkat 30 sen kepada 61.5 sen dan 79 sen.
Indeks FBM Emas merosot 110.26 mata kepada 11,366.37, Indeks FBM Emas Shariah susut 149.05 mata kepada 13,497.55 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 101.17 mata kepada 11,178.80.
FBM 70 jatuh 240.70 mata kepada 14,810.47 dan FBM ACE susut 206.66 mata kepada 10,316.51.
Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.78 mata kepada 140.97, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 77.11 mata kepada 12,916.09 dan Indeks Perladangan susut 108.45 mata kepada 6,963.75.
Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 14.33 bilion saham bernilai RM5.84 bilion daripada 9.0 bilion saham bernilai RM5.35 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 649.49 juta unit bernilai RM248.86 juta daripada 759.05 juta unit bernilai RM242.51 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 11.66 bilion saham bernilai RM2.95 bilion daripada 6.91 bilion saham bernilai RM2.96 bilion semalam.
Barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 2.84 bilion saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (5.23 bilion), pembinaan (429.98 juta), teknologi (2.40 bilion), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (54.30 juta), hartanah (2.08 bilion), perladangan (54.90 juta), REIT (8.69 juta), dana tertutup (88,000), tenaga (558.69 juta), penjagaan kesihatan (105.58 juta), telekomunikasi dan media (83.45 juta), pengangkutan dan logistik (435.14 juta), dan utiliti (45.32 juta).
— BERNAMA