KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) — Kegiatan pengambilan untung membabitkan indeks penjagaan kesihatan, pasaran ACE dan tenaga telah mengheret turun dagangan di Bursa Malaysia untuk ditutup rendah hari ini.
Aktiviti ini tercetus apabila para pelabur mengambil peluang mengaut keuntungan selepas bursa tempatan mencatatkan kenaikan semalam, melantun 1.1 peratus dan berlegar dalam zon positif sepanjang sesi urus niaga.
Pada penutup hari ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 22.14 mata atau 1.44 peratus kepada 1,515.40 daripada 1,537.54 direkodkan pada penutup semalam, sekali gus menghapuskan keuntungan yang dicatatkan sebelum ini.
Kaunter rugi mengatasi untung dengan margin yang besar iaitu 874 berbalas 315 manakala 376 kaunter tidak berubah, 461 tidak diniagakan dan 25 lain digantung.
Bagaimanapun, jumlah dagangan merosot kepada 9.4 bilion saham bernilai RM5.42 bilion daripada 11.59 bilion saham bernilai RM5.35 bilion semalam.
Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata penurunan dalam indeks petunjuk berlaku kerana kaunter-kaunter sarung tangan (penjagaan kesihatan) iaitu Hartalega dan Top Glove mencatatkan kejatuhan ketara dalam kalangan indeks dengan masing-masing merosot -9.8 peratus dan -3.7 peratus.
“Ini susulan penurunan sektoral ke atas sektor sarung tangan baru-baru ini oleh beberapa firma penyelidikan.
“Selain itu, terdapat banyak laporan korporat mengenai beberapa syarikat yang berminat menceburkan diri dalam sektor sarung tangan yang mungkin boleh menimbulkan ancaman kepada harga jualan purata pengeluar sarung tangan sedia ada,” kata beliau kepada Bernama.
Sementara itu, Hong Leong Financial Group merupakan saham paling untung, mencatatkan kenaikan 3.3 peratus hari ini. Namun, ia masih tidak cukup untuk membawa Indeks Kewangan Bursa ke zon hijau.
Di samping itu, beliau berkata aktiviti penjualan di kaunter ini telah mengheret indek penjagaan kesihatan bursa ketinggalan ke belakang dalam kalangan sektor dengan kerugian sebanyak 4.7 peratus.
Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, Maybank dan Public Bank, masing-masing lega empat sen kepada RM7.21 dan RM16.10, Tenaga jatuh 20 sen kepada RM11.04 dan IHH berkurangan tujuh sen kepada RM5.28.
Antara kaunter paling untung, Hong Leong Financial melambung 44 sen kepada RM13.78 dan Batu Kawan dan Vitrox, masing-masing mengukuh 32 sen kepada RM15.38 dan RM12.82.
Saham-saham paling cergas pula, Pegasus susut satu sen kepada tiga sen, Permaju meningkat 6.5 sen kepada 42 sen dan Netx kekal pada 1.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 162.12 mata kepada 11,012.24, Indeks FBMT 100 jatuh 158.17 mata kepada 10,808.34 dan FBM 70 berkurangan 214.91 mata kepada 14,608.55.
Indeks FBM Emas Shariah menguncup 237.81 mata kepada 13,059.49 dan Indeks FBM ACE kerugian 414.36 mata kepada 10,850.69.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 47.85 mata kepada 12,647.66, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.64 mata kepada 137.50 dan Indeks Perladangan lebih lemah sebanyak 38.92 mata kepada 7,127.86.
Jumlah dagangan di pasaran Utama merosot kepada 5.61 bilion saham bernilai RM4.36 bilion daripada 6.58 bilion saham bernilai RM4.08 bilion.
Jumlah dagangan waran pula mengembang kepada 677.89 juta unit bernilai RM214.84 juta berbanding 451.28 juta unit bernilai RM119.72 juta.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE mengecil kepada 3.11 bilion saham bernilai RM846.11 juta daripada 4.55 bilion saham bernilai RM1.18 bilion.
Produk pengguna dan perkhidmatan menguasai 1.32 bilion saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (1.36 bilion), pembinaan (327.99 juta), teknologi (545.34 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (47.29 juta), hartanah (717.46 juta), perladangan (148.11 juta), REITs (3.60 juta), dana tertutup (19,000), tenaga (722.63 juta), penjagaan kesihatan (176.65 juta), telekomunikasi dan media (122.11 juta), pengangkutan dan logistik (86.05 juta) dan utiliti (24.62 juta).
— BERNAMA