KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) — Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini, mengambil petunjuk daripada prestasi di kebanyakan bursa serantau dengan para pelabur terus memantau perkembangan langkah-langkah rangsangan Amerika Syarikat.
Perundingan mengenai pakej bantuan COVID-19 AS dijadual diteruskan lagi hari ini dengan Speaker Dewan Nancy Pelosi dan Setiausaha PerbendaharaanSteven Mnuchin berusaha mengecilkan jurang perbezaan masing-masing terhadap pakej rangsangan itu dengan harapan dapat mencapai kesepakatan dan seterusnya meluluskan rang undang-undang sebelum pilihan raya presiden pada 3 Nov.
Sementara di pasaran domestik, ketidakpastian menyebabkan para pelabur terus menjual ekuiti Malaysia, kata seorang penganalisis.
“Bagaimanapun, belian institusi telah menyokong kaunter berkaitan indeks dan berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pelabur runcit kembali memberi sokongan kepada kaunter berharga murah,” kata beliau.
PKPB di Selangor, Kuala Lumpur and Putrajaya bermula 14 Okt sehingga 27 Okt manakala di Sabah dari 13-26 Okt.
Pada pukul 5 petang, indeks petunjuk utama ditutup 7.14 mata atau 0.47 peratus lebih rendah pada 1,510.97 daripada 1,518.11 ketika ditutup pada Isnin.
Indeks utama dibuka 0.39 mata lebih tinggi pada 1,518.50 dan bergerak antara 1,510.69 dan 1,520.97 sepanjang hari.
Di papan skor, kaunter rugi mengatasi untung 661 berbalas 394 manakala 449 kaunter tidak berubah, 647 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.
Jumlah dagangan melonjak kepada 11 billion unit bernilai RM5.82 bilion (jumlah tertinggi sejak 28 Ogos) berbanding 9.50 bilion unit bernilai RM5.43 bilion yang dicatatkan ketika penutup pada Isnin.
Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim memberitahu Bernama bahawa FBM KLCI turut diheret turun oleh Petronas Dagangan yang menyusut 5.2 peratus di celah-celah kebimbangan lonjakan kes koronovirus di seluruh dunia dan rancangan Libya untuk meningkatkan pengeluaran yang menjuruskan kepada penurunan dalam harga minyak.
Sementara itu, Indeks Bursa Penjagaan Kesihatan jatuh 1.5 peratus, paling tinggi dalam kalangan sektor walaupun terdapatnya peningkatan dalam jumlah jangkitan COVID-19.
Bagaimanapun, Adam berkata indeks teknologi Bursa meningkat 0.9 peratus.
Di pasaran serantau, Nikkei 225 Jepun jatuh 0,44 peratus kepada 23,567.04, Straits Times Singapura 0.65 peratus lebih rendah kepada 2,527.93 dan Hang Seng Hong Kong berkembang 0.11 peratus kepada 24,569,54.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank turun dua sen kepada RM7.18, Top Glove susut 12 sen kepada RM9.48 dan Public Bank lebih rendah sebanyak empat sen kepada RM15.80 sementara Hartalega meningkat empat sen kepada RM19.04.
Saham paling rugi termasuklah Nestle yang merosot RM2.60 kepada RM139.40, diikuti oleh Petronas Dagangan yang turun 98 sen kepada RM17.90 dan F&N merosot 46 sen kepada RM31.10.
Antara saham paling cergas, Lambo dan Luster masing-masing tidak berubah pada 3.5 sen dan 22.5 sen sementara Aneka Jaringan yang baharu disenaraikan di Pasaran Ace susut empat sen kepada 29 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menyusut 52.34 mata kepada 10,985.64, Indeks FBMT 100 jatuh 52.44 mata kepada 10,776.48 dan Indeks FBM Emas Shariah menyusut 73.08 mata kepada 13,216.51.
FBM 70 merosot 76.62 mata kepada 14,564.18 dan FBM ACE lebih lemah sebanyak 179.02 mata kepada 10,992.73.
Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 33.10 mata kepada 12,412.13, Indeks Perladangan turun 22.86 mata kepada 6,894.66, Indeks Penjagaan Kesihatan merosot 67.74 mata kepada 4,235.26 tetapi Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.07 mata kepada 146.58.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 6.61 bilion saham bernilai RM4.62 bilion daripada 4.72 bilion saham bernilai RM4.15 bilion.
Jumlah dagangan waran turun kepada 875.64 juta unit bernilai RM253.99 juta daripada 1.15 bilion unit bernilai RM337.23 juta.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE merosot kepada 3.54 bilion saham bernilai RM951.77 juta berbanding 3.61 bilion saham bernilai RM936.75 juta.
Produk dan perkhidmatan pengguna merangkumi 1.54 bilion saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (2.28 bilion), pembinaan (193.36 juta), teknologi (871.41 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (34.20 juta), hartanah ( 961.49 juta), perladangan (38.71 juta), REIT (7.14 juta), dana tertutup (0), tenaga (168.93 juta), penjagaan kesihatan (95.08 juta), telekomunikasi dan media (32.38 juta), pengangkutan dan logistik (74.87 juta) dan utiliti (306.38 juta).
– BERNAMA