KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) — Boustead Plantations Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM17.97 juta dalam suku ketiga yang berakhir 30 Sept, 2020, berbanding kerugian bersih RM34.31 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Hasil meningkat 48 peratus kepada RM205.68 juta daripada RM139.24 juta disebabkan harga produk sawit yang bertambah baik yang menyumbang keuntungan sebanyak RM40.3 juta daripada operasi.
Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata purata harga jualan minyak sawit mentah berada pada RM2,772 setan metrik, mengatasi harga pada suku yang sama tahun lepas pada RM2,026 setan metrik, iaitu peningkatan sebanyak RM746 setan metrik atau 37 peratus.
Sementara itu harga purata isirung sawit melonjak sebanyak 30 peratus atau RM343 setan metrik kepada RM1,481 setan metrik pada suku ketiga, manakala pengeluaran tandan buah segar (FFB) meningkat kepada 273,625 tan metrik daripada 239,572 tan metrik pada suku ketiga 2019.
Boustead Plantations berkata prospek kumpulan bagi tempoh berbaki tahun ini akan banyak dipacu oleh harga MSM, pengeluaran tanaman dan kejayaan pelaksanaan program transformasi kumpulan.
“Program transformasi kami berjalan lancar dan meskipun beberapa gangguan kepada inisiatif produktiviti disebabkan sekatan semasa pandemik, kami berada di landasan untuk mencapai objektif kami,” katanya.
Syarikat itu berkata semakan menurun baru-baru ini anggaran tanaman kacang soya, biji bunga matahari dan bijian minyak lain telah mencetuskan belian besar-besaran dan menyokong harga MSM meningkat ke zon RM3,000.
Oleh itu, ia menjangka harga MSM bagi tempoh berbaki tahun ini akan terus disokong oleh permintaan kukuh terhadap minyak sawit yang dilihat dari China, India. Eropah dan Pakistan. H
Permintaan kukuh global dan pengeluaran lebih rendah daripada yang dijangkakan akan mengekalkan inventori minyak sawit Malaysia pada paras yang rendah.
“Perkembangan cuaca menjadi faktor penentu utama bagi harga MSM dan minyak sayuran lain dalam tempoh suku berbaki tahun ini terutamanya dengan pola cuaca La Nina sekarang,” kata syarikat itu.
— BERNAMA