KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) — Pindaan terhadap keperluan penyenaraian, semakan pemutus litar pasaran, penambahbaikan kerangka kerja tawaran awam awal (IPO) dan kerjasama dengan pasaran saham antarabangsa merupakan antara inisiatif yang dilaksanakan bagi meningkatkan tahap mudah tunai dan kecekapan dalam pasaran modal.
Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2021 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, inisiatif ini diambil dalam lapan bulan pertama 2020, bertujuan untuk meningkatkan prestasi pasaral modal.
“Inisiatif utama pasaran modal yang dilaksanakan adalah termasuk pindaan terhadap keperluan penyenaraian dalam pasaran utama dan pasaran ACE di mana ia menyediakan pilihan kepada pemegang sekuriti dalam melanggan saham hak. Melaksanakan saham keutamaan boleh tukar dan mengambil bahagian dalam Skim Pelaburan Semula Dividen secara elektronik,” kata laporan itu.
Selain itu, pindaan terhadap keperluan penyenaraian pasaran utama dan pasaran ACE yang berkaitan dengan terbitan sekuriti baharu dan bidang lain turut diperkenalkan, bertujuan menambah baik keperluan maklumat yang telus berkaitan terbitan sekuriti baharu dan memperbaiki kelemahan yang telah dikenal pasti bagi meningkatkan perlindungan dan keyakinan pemegang saham.
Menurut laporan berkenaan, pihak berkuasa turut menambah baik kerangka kerja tawaran awam awal (IPO) untuk pasaran utama, di mana ia bertujuan menggalakkan perkongsian tanggung jawab dalam kalangan pemegang taruh yang terlibat dalam penyerahan IPO untuk disenaraikan di pasaran utama.
Pada masa yang sama, memorandum persefahaman telah ditandatangani antara Bursa Malaysia Bhd dengan Bursa Shenzen serta Taiwan Futures Exchange (TAIFEX) untuk memperluas peluang dalam pelaburan dan memudahkan kolaborasi rentas sempadan.
“Inisiatif ini termasuk paparan secara bersama indeks penanda aras di bursa masing-masing serta mempromosi indeks dan konstituen indeks. Bagi kerjasama dengan TAIFEX, ia akan menggalakkan perkongsian perniagaan yang memanfaatkan kedua-dua pihak secara bersama.
“Kerjasama ini merangkumi perkongsian maklumat, pertukaran amalan terbaik dalam pembangunan produk dan pasaran serta meneroka bidang yang menyumbang kepada kepentingan bersama,”menurut laporan itu.
Bagi semakan pemutus litar pasaran, laporan itu menyatakan, semakan sementara untuk had harga statik dan dinamik serta pemutus litar pasaran telah diperkenalkan bagi meningkatkan kestabilan dan keyakinan dalam pasaran melalui mekanisme kawalan dan pengurusan pasaran yang telah dikemaskini.
— BERNAMA