KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) — AT Precision Tooling Sdn Bhd (ATP), anak syarikat milik penuh AT Systematization Bhd (ATS), berjaya membeli 18.18 peratus kepentingan dalam AE Multi Holdings Bhd (AEMHB) pada harga RM15.65 juta, pada Isnin.
Usaha itu direalisasikan menerusi pendanaan secara pinjaman bank dan sekuriti boleh ubah.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, ia berkata AEMHB yang tersenarai di pasaran utama Bursa Securities secara asasnya terlibat dalam pemegangan pelaburan dan penyediaan perkhidmatan pengurusan kepada kumpulan syarikatnya.
Anak-anak syarikat AEMHB terbabit dalam bidang pembuatan, jualan, penyumberan dan penjualan semula papan litar bercetak dan produk berkaitan, komponen elektronik dan telekomunikasi serta produk berkaitan.
“Oleh kerana kumpulan ini menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan industri semikonduktor, pembelian kepentingan itu akan membolehkan kumpulan meningkatkan prospek dalam segmen semikonduktor dengan memanfaatkan kekuatan dan kepakaran AEMHB dalam pembuatan segmen papan litar bercetak berserta kewujudan perniagaan sedia ada AEMHB di Thailand,” kata ATS dalam satu kenyataan.
Pengambilalihan itu juga konsisten dengan strategi kumpulan bagi meningkatkan perniagaan teras dalam reka bentuk dan pembuatan komponen kepersisan, fabrikasi alat kepersisan bagi tujuan kegunaan dalam aplikasi kejuruteraan kepersisan.
“Ini membolehkan kumpulan meraih manfaat daripada skala ekonominya dan mewujudkan sinergi menerusi kerjasama dan perkongsian kepakaran teknikal antara kumpulan dan AEMHB yang bertujuan meningkatkan prestasi kewangan dan nilai pemegang saham,” katanya.
— BERNAMA