KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Sunway Construction Group Bhd (SunCon), Sunway Construction Sdn Bhd (SCSB) telah menerima surat anugerah (LOA) yang dikeluarkan oleh GBS Suria Sdn Bhd (GBS Suria) untuk kontrak bernilai RM218.76 juta.
SunCon dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata kontrak itu terdiri daripada kerja-kerja reka bentuk dan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk kemudahan penjanaan tenaga solar fotovoltaik dengan kapasiti penjanaan 50 megawatt (MW) di Kampar, Perak.
Kerja-kerja EPCC itu termasuk pencawang baharu 132 kilovolt (kV) dan kemudahan berkaitan serta kerja berkaitan di Kemudahan Kesalinghubungan Tenaga Nasional Bhd (TNB), katanya.
“Kerja-kerja EPCC akan dimulakan serta-merta pada 17 Januari 2023 dan tempoh untuk menyiapkan kerja-kerja EPCC oleh SCSB adalah 20 bulan dari tarikh permulaan,” katanya.
Syarikat itu berkata kontrak itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan tahap kadar hutang SunCon bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2023.
— BERNAMA