KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) — Powerwell International Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Powerwell Holdings Bhd, berjaya memperoleh tempahan pembelian (PO) bernilai RM40 juta daripada syarikat pembekal solar di Bangladesh, Dynamic Sun Energy Private Ltd yang juga unit Paramount Group Bangladesh.
Dalam kenyataan hari ini, pengeluar peralatan bekalan kuasa elektrik bervoltan rendah (LV) dan voltan sederhana (MV) itu berkata PO baharu tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih disatukan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2024.
“Powerwell International akan membekal panel suis MV menggunakan panel penebat 33 kilovolt dan 800 volt LV serta peralatan sokongan lain bagi PO semasa yang dijangka dapat dipenuhi menjelang September 2023 kepada projek loji tenaga solar baharu kumpulan Paramount di Bhabanipur, Pabna, Bangladesh.
“Projek itu adalah sebahagian daripada rancangan kumpulan Paramount untuk mempelbagai perniagaannya dalam tenaga dan sektor tenaga hijau,” katanya.
Pengarah Urusan Powerwell International Datuk Adam Yee berkata PO itu diperoleh selepas meraih kontrak RM7.14 juta dengan Siemens Industrial Ltd pada bulan lepas, projek pertama Powerwell di Bangladesh pada 2023 bagi membekal papan suis LV untuk syarikat pengeluar pakaian dan benang serta dua projek pembesaran bagi kilang pakaian dan kilang celupan benang di Bangladesh.
Dalam pada itu, rakan niaga tempatan Powerwell di Bangladesh, Industrial Engineering Solutions Ltd, akan mengendalikan aspek pemasangan, pengujian dan pentauliahan peralatan dibekalkan serta perkhidmatan selepas jualan dan kejuruteraan.
Syarikat itu menyifatkan projek antarabangsa terbabit akan membantu Powerwell menjalin hubungan perniagaan dengan syarikat-syarikat di Bangladesh serta negara-negara lain di rantau itu selain memahami pasaran lebih baik, mengenal pasti peluang perniagaan baharu dan mengembangkan operasinya di masa depan.
— BERNAMA