KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Mah Sing Group Bhd, Supreme Springs Sdn Bhd dan Legend Grand Development Sdn Bhd membeli dua bidang tanah dengan potensi nilai pembangunan kasar kira-kira RM726 juta berharga RM85.86 juta.
Pemaju hartanah itu berkata dua bidang tanah tersebut yang berukuran 3.32 hektar terletak di Puchong Perdana, Selangor.
“Supreme Springs memeterai perjanjian jual dan beli bersyarat bagi cadangan pembelian tanah (bidang tanah 1) di Puchong Perdana berukuran kira-kira 1.55 hektar berharga RM40.19 juta.
“Manakala Legend Grand membeli tanah (bidang tanah 2) dalam kawasan Puchong Perdana, berukuran kira-kira 1.77 hektar berharga RM45.68 juta,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Mah Sing berkata berdasarkan kepada perancangan awal, pembangunan baharu itu akan dinamakan M Terra (bagi bidang tanah 1) dan M Hana (bagi bidang tanah 2).
“M Terra adalah pembangunan kediaman mampu milik dengan harga permulaan bermula daripada RM250,000. M Hana pula dirancang sebagai pembangunan bercampur yang juga termasuk beberapa lot runcit,” katanya .
Kos dan perbelanjaan berkaitan dengan cadangan pembelian itu akan dibiayai menerusi gabungan dana dalaman, pinjaman bank dan/atau hasil bersih daripada penjualan tanah belum dimajukan seperti yang diumumkan sebelum ini, kata syarikat tersebut.
— BERNAMA