KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) — Anak syarikat Axiata Group Bhd, Robi Axiata Ltd telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Bangladesh (BSEC) untuk penyenaraiannya dalam Dhaka Stock Exchange Ltd dan Chittagong Stock Exchange Ltd di Bangladesh.
“Berdasarkan kenyataan akhbar bertarikh 23 Sept, 2020, BSEC telah meluluskan cadangan tawaran awam permulaan (IPO) dan cadangan penyenaraian Robi,” menurut kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Axiata, yang memiliki 68.69 peratus dalam Robi, berkata maklumat lanjut akan diumumkan selepas Robi mendapat surat kelulusan daripada BSEC.
Media di Bangladesh telah melaporkan bahawa kelulusan itu telah menjadi IPO yang terbesar dalam sejarah pasaran ekuiti Bangladesh.
Pada 24 Feb, Axiata memberitahu Bursa Malaysia mengenai cadangan penyenaraian Robi untuk meraih RM255.2 juta dan hasil itu akan digunakan terutamanya untuk pengembangan rangkaian.
Axiata susut lima sen kepada RM3.01 sehingga 3.05 petang dengan 573,800 saham diniagakan.
— BERNAMA