AmInvestment Bank menaikkan saranan ke atas Petronas Gas (PGas) daripada ‘pegang’ kepada ‘beli’ pada nilai saksama berdasarkan penilaian jumlah bahagian iaitu RM21.30 sesaham berbanding RM17.80 sebelumnya, menunjukkan jangkaan tahun kewangan 2020 dengan 20 kali harga-kepada-perolehan (PE).
AmInvest juga mengekalkan unjurannya terhadap pendapatan syarikat itu memandangkan keuntungan bersih utama separuh kedua tahun kewangan 2020 PGas berjumlah RM1.047 bilion (tidak termasuk kerugian pertukaran asing yang belum direalisasikan sebanyak RM131 juta terutama daripada hutang dalam dolar AS terminal regasifikasi Sungai Udang) adalah sejajar dengan jangkaan, menyumbang 50 peratus kepada keuntungan bagi unjuran tahun kewangan 2020.
Bagi perbandingan tahun-ke-tahun, ia berkata pendapatan separuh pertama tahun kewangan 2020 PGas meningkat dua peratus kepada RM2.8 bilion kerana pelarasan pemprosesan gas, regasifikasi gas asli cecair (LNG) dan kadar utiliti lebih daripada mengimbangi penurunan lima peratus pendapatan pengangkutan gas mengikut Laporan Perniagaan Antarabangsa (IBR) baharu sejak awal tahun ini.
PGas mengisytiharkan dividen khas sebanyak 50 sen sebagai tambahan kepada dividen interim kedua sebanyak 16 sen, ini bermaksud nisbah pembayaran separuh tahun pertama 2020 adalah 177 peratus.
“Berasaskan andaian bahawa syarikat itu akan terus membayar dividen seperti biasa pada separuh kedua 2020, kami telah menaikkan unjuran dividen sesaham bagi tahun kewangan 2020 sebanyak 36 peratus kepeada 98 sen, dengan nisbah pembayaran 92 peratus dan hasil yang menarik sebanyak enam peratus.
“Bagi tahun kewangan 2021 hingga 2024, kami telah menaikkan unjuran dividen sesaham sebanyak 10 sen yang meningkatkan nisbah pembayaran kepada 75 hingga 78 peratus,” kata AmInvestment.
AmInvestment berkata prestasi kewangan kukuh itu mengesahkan penurunan trajektori perolehan tahun kewangan 2020 bagi segmen pengangkutan gas di bawah garis panduan pengangkutan gas Suruhanjaya Tenaga untuk dua tempoh pengawalseliaan selama tiga tahun untuk tahun kewangan 2020 hingga 2025.
“Bagi suku ke suku, keuntungan bersih utama suku kedua tahun kewangan 2020 meningkat kepada RM527 juta (tidak termasuk keuntungan pertukaran asing yang tidak direalisasikan sebanyak RM21 juta) dengan pendapatan tidak berubah RM1.4 bilion. Ini sebahagiannya diimbangi oleh kenaikan kadar cukai efektif sebanyak tiga mata peratusan kepada 20 peratus,” menurutnya.
Setakat pukul 11.02 pagi, harga saham PGas naik 60 sen kepada RM16.98 dengan 309,200 saham bertukar tangan.
— BERNAMA