KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) – AmInvestment Bank Bhd yang agak positif dengan langkah MMC Corporation mengurangkan pegangan sahamnya dalam Red Sea Gateway Terminal Co Ltd (RSGT) daripada 20 peratus kepada 12 peratus, telah mengekalkan saranan ‘’beli”’ ke atas saham syarikat itu dan menurunkan sedikit nilai setaranya.
Dalam notanya hari ini, bank itu berkata hasil penjualan 211.1 juta riyal (RM227.6 juta) akan mengurangkan hutang bersih MMC kepada RM8.57 bilion daripada RM8.79 bilion setakat 30 Sept 2020, dan memperbaiki gearan kepada 0.91 kali daripada 0.94 kali.
“Kami maklum bahawa pelupusan itu akan menghasilkan keuntungan tetapi jumlahnya tidak diberitahu,” kata AmInvestment Bank.
Pada Jumaat minggu lepas, MMC mengumum akan melupuskan sebahagian kepentingannya dalam RSGT, pengendali terminal kontena bebas di pelabuhan Jeddah Islamic.
Bank itu menyifatkan impak pelupusan saham ke atas keuntungan operasi MMC sebagai “immaterial”.
“Untuk sembilan bulan pertama tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2020, RSGT menyumbang kurang daripada lima peratus jumlah keuntungan bersih teras kumpulan,” katanya.
AmInvestment Bank menurunkan nilai setaranya untuk MMC kepada RM1.50 daripada RM1.56 sebelumnya berdasarkan penilaian jumlah bahagian untuk mencerminkan penurunan terkini bank dalam nilai setaranya untuk Malakoff kepada RM1.00 daripada RM1.10 sebelum ini.
Dalam pada itu, bank itu berkata tinjauan sektor pelabuhan di rantau ini termasuk Malaysia akan terus berdaya tahan dalam jangka panjang, disokong oleh perdagangan global dan pelaburan dalam sektor pembuatan.
– BERNAMA
Nak tahu lebih mendalam tentang teknik Buy On Breakout beserta contoh-contoh? Don’t worry guys, kami akan terangkan dalam bahasa mudah.
Dapatkan eBook Rahsia Teknik Buy On Breakout, klik: thekapital.my/EbookBOB