KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) — Kalangan pelabur asing kekal sebagai penjual bersih di Bursa Malaysia pada minggu lepas berakhir 20 November dengan jualan sebanyak RM268.9 juta berbanding RM246.3 juta pada minggu sebelumnya.
Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata Bursa Malaysia memulakan dagangan pada Isnin lepas dengan menyaksikan dana asing membuat jualan bersih RM126.4 juta ekuiti tempatan.
“Sentimen positif susulan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) oleh Malaysia dan 14 negara lain sebaliknya ditenggelamkan oleh jualan kaunter sarung tangan getah di tengah-tengah tumpuan terhadap jangkaan pemulihan ekonomi,” katanya kepada Bernama.
Pada Selasa, paras jualan asing bersih meningkat kepada RM143.7 juta apabila pelabur terus mengurangkan dedahan dalam saham sarung tangan getah.
Menurutnya, ini dijejaskan lagi dengan laporan media mengenai keberkesanan vaksin COVID-19 Moderna Inc mencecah 94.5 peratus menerusi analisis awal ujian lanjuta klinikal yang dijalankan.
“Kegembiraan itu menular ke sektor lainnya yang menyaksikan FBM KLCI menokok 0.7 peratus untuk ditutup pada Selasa dengan melepasi paras 1,600 – iaitu yang pertama kalinya sejak akhir Julai lepas.
“Dana luar pesisir kemudian bertindak membeli ekuiti tempatan sehingga RM169.6 juta apabila majoriti pelabur memilih untuk menumpukan berita positif mengenai vaksin baharu berbanding peningkatan kes jangkitan,” katanya.
Adam berkata bursa tempatan juga kekal melebihi angka 1,600 pada Rabu selepas Pfizer Inc pula mengumumkan pencapaian penting dalam kajian vaksin COVID-19 dan kini bersedia mendapatkan kebenaran pihak pengawal selia Amerika Syarikat bagi tujuan penggunaan kecemasan.
“Namun, aliran masuk dana asing bersih itu bersifat sementara apabila kalangan pelabur asing menjual ekuiti tempatan bersih RM170.5 juta pada Khamis,” katanya.
Menurutnya, susulan peningkatan ketara bilangan kes COVID-19 di serata dunia, pihak berkuasa telah mengambil langkah untuk menangani impaknya terhadap sentimen pasaran.
Ini termasuk tindakan bank pusat Indonesia mengurangkan kadar dasarnya untuk kali pertama dalam tempoh empat bulan manakala bank pusat Filipina menurunkan kadar faedah utama selepas ekonomi negara itu menguncup lebih daripada jangkaan awal pada suku ketiga tahun ini.
Pada Jumaat, dana asing bertindak membeli ekuiti tempatan bernilai RM2.1 juta yang membantu memacu peningkatan bursa tempatan sebanyak 0.6 peratus untuk ditutup pada 1,593.8.
“Minat belian terhadap kaunter sarung tangan getah kembali semula selepas jualan ketara pada minggu ini berikutan optimis terhadap vaksin COVID-19.
“Dalam kalangan 30 saham di FBM KLCI, Top Glove mendominasi kaunter paling untung dengan peningkatan sebanyak lima peratus dan menyaksikan Indeks Penjagaan Kesihatan bursa naik melebihi satu peratus,” katanya.
Selain itu, bagi asas tahun ke tahun setakat ini, pelabur asing telah menjual sebanyak RM23.37 bilion bersih ekuiti tempatan pada 2020, katanya.
Menurut Adam, dari segi penyertaan oleh pelabur asing, purata nilai dagangan harian bagi Isnin hingga Jumaat kekal kukuh pada RM1.62 bilion dan Malaysia mencatatkan aliran keluar dana asing kedua terbesar setakat tahun ini selepas Thailand dalam kalangan negara ASEAN.
— BERNAMA