KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) — Pakar perkhidmatan kerja tanah dan kejuruteraan awam, Advancecon Holdings Bhd memperoleh dua kontrak bernilai RM80.8 juta daripada China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd untuk menyediakan kerja subgred dan kerja-kerja berkaitan bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Advancecon Peroleh 2 Kontrak ECRL Bernilai RM80.8 Juta
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Advancecon, Datuk Phum Ang Kia berkata kontrak itu akan membantu syarikat tersebut lebih bersedia dan kompetitif dalam bidaan tender ECRL pada masa depan dengan menggunakan sumber-sumbernya.
“Kontrak yang diperoleh ini merupakan rangsangan yang tepat pada masa bagi nilai perolehan kontrak kerja tanah dan kejuruteraan awam sedia ada kumpulan dan membuktikan keyakinan pelanggan terhadap kami untuk menjadi sebahagian daripada pemain yang terlibat dalam projek pembangunan prasarana terbesar negara itu.
“Rancangan kerajaan untuk melaksanakan ECRL dalam tempoh beberapa tahun akan datang sudah pastinya memberi prospek masa depan yang positif kepada kumpulan dalam projek mega prasarana ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata susulan kontrak baharu itu nilai perolehan kontrak Advancecon meningkat kepada RM771.1 juta dengan jaminan pendapatan pada minimum 28 bulan.
Nilai perolehan kerja tanah dan kejuruteraan awam kumpulan terdiri daripada projek prasarana seperti Lebuh Raya Pantai Barat, Lebuh Raya Pan Boneo dan jalan raya baharu di Sarawak di bawah Agensi Pembangunan Upper Rajang dan projek pembangunan hartanah termasuk Setia Alamsari (South), Eco Ardence dan Nilai Impian.
— BERNAMA