KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) — AirAsia X Bhd (AAX) telah mengeluarkan pekeliling terperinci berkaitan cadangan pengambilalihan bernilai RM6.8 bilion membabitkan keseluruhan pegangan kepentingan Capital A Bhd dalam AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL) dan AirAsia Bhd (AAB).
Pekeliling itu bagi tujuan semakan pemegang saham sebelum Mesyuarat Agung Luar Biasa yang dijadualkan pada 16 Oktober depan, kata AAX dalam satu kenyataan hari ini.
Cadangan pengambilalihan itu bertujuan mewujudkan satu kuasa besar penerbangan yang lebih khusus, merangkumi tujuh syarikat penerbangan di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja.
“Sebaik selesai transaksi itu, kumpulan penerbangan baharu berkenaan akan merangkumi spektrum penuh perkhidmatan perjalanan udara jarak pendek, sederhana serta jauh bagi memanfaatkan permintaan perjalanan yang kian meningkat,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif AAX Benyamin Ismail berkata langkah korporat ini akan mengukuhkan lagi kelebihan daya saing kumpulan syarikat penerbangan terbabit serta meraih permintaan dalam sektor penerbangan.
Pada masa sama, langkah itu akan memberi manfaat kepada pemegang saham dengan menjadi sebahagian daripada kumpulan penerbangan yang lebih berdaya tahan, tangkas dan berkembang maju dalam pasaran perjalanan udara antarabangsa.
“AAX akan turut mendapat kelebihan ketara dengan memanfaatkan ekosistem Capital A dengan lebih meluas dan merangkumi semua aspek daripada perkhidmatan digital dan pengendalian darat sehingga tawaran dalam pesawat. Sinergi ini akan membantu kumpulan penerbangan baharu itu beroperasi secara cekap kos.
“Cadangan pengurangan modal saham yang turut dikemukakan, akan mengurangkan kerugian terkumpul dan meningkatkan profil kewangan AAX,” katanya.
Pekeliling itu yang kini dipaparkan di laman sesawang AAX, memberi butiran lanjut mengenai cadangan termasuk Cadangan Penerbitan Waran Percuma, Cadangan Penempatan Persendirian, Cadangan Pengambilalihan AAAGL, Cadangan Pengambilalihan AAB, Cadangan Pengurangan Modal Saham dan Cadangan Pemberian Pilihan Langganan.
— BERNAMA