KOTA KINABALU, 31 Ogos (Bernama) — Pelaburan dalam pembangunan wanita boleh mewujudkan kesan beriak yang membawa kepada pelbagai manfaat bukan sahaja bagi individu tetapi juga keluarga, masyarakat dan negara, kata pengarah University of California bagi pengembangan kepelbagaian dan kesaksamaan jantina dalam teknologi, Jill Finlayson.
Beliau berkata pelaburan dalam memperkasakan keusahawanan wanita akan memberikan pulangan yang bermakna kerana mereka akan melabur semula kepada keluarga mereka, anak-anak dan pembangunan masyarakat menerusi sumbangan perniagaan.
“Ada banyak data yang menunjukkan apabila anda melabur membantu golongan wanita, mereka akan melabur semula kepada anak-anak mereka dan juga masyarakat. Mereka akan menggunakan wang itu untuk memberi pendidikan kepada anak-anak mereka, membantu masyarakat dan generasi seterusnya.
“Tanpa akses kepada teknologi, pendidikan, maklumat dan literasi kewangan, mereka tidak dapat menonjolkan keupayaan mereka untuk melakukan apa yang mereka boleh lakukan untuk menambah baik kehidupan dan mengembangkan perniagaan mereka,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Finlayson berkata demikian semasa ditemui selepas menjadi penceramah pada forum bertajuk “Women, Technology and Entrepreneurship Scaling Up!” anjuran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur, di sini.
Program itu yang diadakan pada 27 Ogos, 2022 dianjurkan secara kerjasama dengan Persatuan Usahawan dan Iktisas Wanita Sabah (SWEPA).
Menurutnya, bantuan kewangan menerusi pinjaman mikro juga boleh menjadi pembawa perubahan dalam perniagaan selain usahawan wanita juga mahir dalam menguruskan syarikat serta meningkatkan keuntungan.
“Suatu yang mengujakan melihat wanita menggunakan pengetahuan, kepakaran dan kefahaman mereka untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka sendiri,” katanya.
Finlayson juga melihat persatuan keusahawan wanita memainkan peranan penting dalam menarik lebih ramai peserta termasuk golongan muda untuk meneroka dalam bidang keusahawanan dengan membantu mereka memulakan perniagaan dan memberi peluang kedua untuk mengembangkan portfolio mereka.
Beliau berkata dalam usaha memacu perniagaan dan ekonomi digital, teknologi akan membantu usahawan menjadi lebih cekap dan produktif.
Oleh itu, usahawan wanita perlu belajar kemahiran berkaitan teknologi dan internet untuk digunakan dengan lebih selesa dan berkesan dalam perniagaan mereka masing-masing, katanya.
Bagaimanapun, Finlayson menegaskan bahawa prasarana mampan amat diperlukan untuk memastikan teknologi dan kemudahan internet disediakan dan boleh diakses secara sama rata kepada setiap orang.
Sementara itu, Presiden SWEPA Sitti Bahaya Damsal berkata program itu memberikan kefahaman kepada ahlinya untuk mengetahui dan menerima pakai idea-idea baharu menerusi perkongsian pengalaman dan perspektif berkaitan dengan keusahawanan.
“Sesi ini membantu ahli-ahli SWEPA mengubah perspektif mereka berdasarkan kepada situasi semasa kerana pendekatan perniagaan pada hari ini adalah berbeza, terutamanya selepas pandemik COVID-19.
“Program itu juga membolehkan ahli-ahli SWEPA bertukar-tukar pandangan dan menanyakan soalan secara terus kepada penceramah berkaitan dengan teknologi dalam keusahawan dan perniagaan,” katanya.
— BERNAMA