KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Ni Hsin Group Bhd, Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd (NH EV Tech) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Dongguan Tailing Electric Vehicle Co Ltd (TAILG) yang berpangkalan di China untuk kerjasama dalam pembangunan dan pengedaran kenderaan elektrik yang disesuaikan bagi tujuan komersial di Malaysia dan rantau ASEAN.
Syarikat pengeluar perkakas memasak itu berkata pihaknya dan TAILG akan meneroka peluang di sektor tersebut.
Kedua-dua pihak bersetuju untuk memulakan perbincangan dan rundingan bagi memuktamadkan dan memeterai perjanjian rasmi yang berkaitan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh MOU atau tempoh yang lebih lama.
“MOU ini adalah untuk memudahkan pembangunan mesin minuman mudah alih milik kumpulan menggunakan basikal kenderaan elektrik (EV) yang disesuaikan yang melengkapi segmen perniagaan makanan dan minuman kumpulan.
“Kerjasama dengan TAILG adalah bertujuan untuk memenuhi bekalan basikal EV yang disesuaikan. Selain itu, basikal EV akan digunakan bagi tujuan komersial yang lain,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
TAILG, yang ditubuhkan pada 2004, merupakan salah satu daripada tiga pengeluar kenderaan dua roda elektrik utama di China dengan operasi di lebih dari 75 negara dan penyelidikan dan pembangunannya telah menghasilkan lebih daripada 45 paten yang berkaitan dengan EV berprestasi tinggi, kecekapan lanjutan, dan perkhidmatan awan.
Pengarah Urusan Ni Hsin EV Tech Khoo Chee Kong berkata perniagaan itu sudah mula menggunakan EV untuk tujuan penghantaran bagi memberikan penjimatan ketara dari segi penyenggaraan dan kos operasi berikutan sistem mekanikal secara radikal yang lebih mudah.
“Penerokaan Ni Hsin Group ke dalam perniagaan e-mobiliti adalah berkaitan kelestarian perniagaan serta komitmen kepada kriteria kemampanan Kritieria Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),” katanya.
— BERNAMA




