KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) — Anak syarikat milik penuh Nestcon Bhd, Nestcon Infra Sdn Bhd memperoleh subkontrak daripada MMC Engineering Sdn Bhd bagi projek pemulihan tebingan Sungai Kelantan yang runtuh di Pasir Mas, Kelantan.
Nestcon dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini berkata skop kerja subkontrak itu termasuk membekalkan semua perkhidmatan, tenaga kerja, bahan binaan bagi pembinaan, penyiapan, pengujian, dan pengoperasian.
“Jumlah bayaran untuk kerja sub-kontrak adalah RM33.65 juta, dan pembayaran akan dibuat kepada Nestcon Infra secara berperingkat,” katanya.
Tempoh kerja sub-kontrak itu adalah selama 8.5 bulan dan dijangka siap pada 3 Mei 2022.
Nestcon menjangka kontrak itu memberi sumbangan positif kepada aset bersih sesaham syarikat, pendapatan sesaham, dan tahap kadar hutang bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 dan sepanjang tempoh sub-kontrak berlangsung.
— BERNAMA




