KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) — Subsidiari Dagang NeXchange Bhd (DNeX), SilTerra Malaysia Sdn Bhd telah memeterai perjanjian pembelian dan pembekalan wafer dengan ChipOne Technology (Beijing) Co Ltd bernilai US$400 juta (US$1=RM4.22).
DNeX dalam satu kenyataan hari ini berkata di bawah perjanjian selama bertahun-tahun itu, SilTerra akan membekalkan wafer yang digunakan dalam pengeluaran peranti semikonduktor kepada ChipOne Technology, pembuat dan pereka bentuk litar bersepadu (IC) serta pengawal sentuh dari China.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengerusi Eksekutif SilTerra, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, perjanjian itu juga akan menyaksikan SilTerra mendapat beban asas wafer yang dijamin untuk beberapa akan datang selain memastikan kadar penggunaan pengilangan yang tinggi dalam perjalanan masa hadapan syarikat berkenaan.
“Kami teruja apabila SilTerra memeterai perjanjian ini dengan salah sebuah syarikat pereka bentuk cip semikonduktor yang terkemuka di China. Ini juga menunjukkan komitmen para pemegang saham baharu di SilTerra dalam mentransformasikan syarikat melalui perniagaan yang lebih mampan.
“Pereka bentuk IC itu sentiasa berusaha untuk menyampaikan produk yang cekap tenaga dan ini seiring dengan strategi ke arah pemuliharaan serta kelestarian tenaga. Oleh itu, mereka ingin menggunakan teknik reka bentuk kuasa yang pintar selain daripada teknologi tenaga terkini bagi memenuhi objektif tersebut,” katanya.
SilTerra juga akan memanfaatkan teknologi pemprosesan, kit reka bentuk faundri dan harta intelektual syarikat yang telah terbukti untuk memberikan produk cekap tenaga yang optimum.
DNeX baru-baru ini menyelesaikan pengambilalihan 60 peratus kepentingan ekuiti dalam SilTerra dari Khazanah Nasional Bhd, menjadikan syarikat itu sebagai pemegang saham majoriti SilTerra.
— BERNAMA




