KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) — Indeks petunjuk utama Bursa Malaysia kekal rendah setakat tengah hari Jumaat, diheret turun oleh aktiviti jualan dalam saham-saham wajaran tinggi.
Pada 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.52 mata kepada 1,524.10 daripada paras 1,527.62 pada akhir dagangan Khamis.
Indeks utama itu dibuka dengan menokok 0.59 mata kepada 1,528.21 dan bergerak dalam jajaran 1,523.70 hingga 1,529.65 sepanjang sesi dagangan awal hari ini.
Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 484 berbanding 387 manakala 421 kaunter tidak berubah, 944 tidak diniagakan dan 31 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 2.99 bilion unit bernilai RM1.71 bilion.
Sementara itu, Rakuten Trade menerusi nota penyelidikannya hari ini berkata peningkatan yang dicatatkan pada Khamis berkemungkinan tidak bertahan lama kerana ada di antara aktiviti pembelian tersebut berkaitan dengan aktiviti memperelok akaun masing-masing.
“Berikutan itu, kami menjangkakan indeks utama akan bergerak dalam jajaran 1,520 hingga 1,530 pada hari ini.
“Selain itu, tumpuan juga perlu diberikan ke atas harga minyak sawit mentah dan minyak mentah kerana kedua-dua eksport utama negara itu mula meningkat semula,” katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan IHH Healthcare naik satu sen kepada RM5.81, Public Bank dan TNB masing-masing tidak berubah pada RM4.02 dan RM9.74, Maybank susut satu sen kepada RM8.03, Petronas Chemicals turun tiga sen kepada RM8.05 dan CIMB berkurangan enam sen kepada RM4.49.
Bagi saham aktif, Globaltec naik 9.5 sen kepada 77.5 sen, KYM meningkat 21.5 sen kepada 70 sen, Serba Dinamik menokok setengah sen kepada 43 sen, Paos menambah 17 sen kepada 58 sen, Pasukhas tidak berubah pada 10.5 sen manakala Kanger turun setengah sen kepada tujuh sen.
Dynafront yang tersenarai pertama kali di Pasaran LEAP, naik dua sen kepada 23 sen dengan sejumlah 711,000 unit diniagakan.
Pada pagi ini, firma pakar teknologi insurans itu disenaraikan pada harga 23 sen sesaham iaitu meningkat 2.0 sen atau 9.6 peratus daripada harga tawaran pada 21 sen sesaham.
Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas berkurangan 10.71 mata kepada 11,177.69, Indeks FBMT 100 susut 13.05 mata kepada 10,874.71 dan FBM ACE menokok 15.11 mata kepada 7,397.27.
Indeks FBM Emas Shariah naik 4.46 mata kepada 12,326.45 manakala FBM 70 meningkat 29.26 mata kepada 14,713.86.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 40.99 mata kepada 14,843.52, Indeks Perladangan naik 11.30 mata kepada 6,254.77 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.23 mata kepada 190.34.
— BERNAMA

