KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) — Bursa Malaysia tinggi pada tengah hari ini berikutan pasaran tidak berubah dengan minat belian dalam saham sarung tangan getah yang terus menyokong pasaran.
Pada 12.30 tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.10 mata kepada 1,520.07 daripada 1,519.97 semasa ditutup pada Isnin.
Indeks dibuka tinggi 1.40 mata kepada 1,521.37 dan bergerak antara 1,516.76 dan 1,521.57 sepanjang sesi dagangan pagi.
Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 533 berbanding 335, manakala 416 kaunter tidak berubah, 959 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 3.41 bilion unit bernilai RM1.95 bilion.
Peniaga berkata pasaran dibuka tinggi hari ini, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang lebih baik tetapi rendah pada pertengahan pagi berikutan jualan dalam saham wajaran tinggi yang terpilih sebelum tinggi semasa mengakhiri sesi pagi ini.
“Kebimbangan mengenai jangkitan COVID-19 yang meningkat terus menjejaskan sentimen pasaran, mendorong pelabur menjual aset berisiko selain menarik minat belian dalam saham pengeluar sarung tangan,” katanya.
Daripada saham wajaran tinggi, Maybank dan TNB, masing-masing menambah satu sen kepada RM8.04 dan RM9.77 manakala Petronas Chemicals naik sembilan sen kepada RM8.09.
Public Bank merosot satu sen kepada RM4.03 dan IHH Healthcare berkurangan dua sen kepada RM5.73.
Dalam kalangan saham aktif, waran Pasukhas naik 1.5 sen kepada dua sen, Pasukhas meningkat setengah sen kepada 11 sen, Systech menambah 3.5 sen kepada 34 sen dan Haily Group yang mula disenaraikan di Pasaran ACE naik 5.5 sen kepada 73.5 sen.
Kanger International tidak berubah pada 7.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 7.10 mata kepada 11,119.57, Indeks FBMT 100 meningkat 8.36 mata kepada 10,824.13 dan FBM ACE menambah 29.66 mata kepada 7,288.87.
Indeks FBM Emas Shariah naik 34.47 mata kepada 12,223.80 dan FBM 70 menambah 41.32 mata kepada 14,560.61.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 33.56 mata kepada 14,838.36, Indeks Perladangan susut 32.55 mata kepada 6,202.34, bagaimanapun Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.49 mata kepada 188.88.
— BERNAMA

