KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) — Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi bercampur-campur dengan indeks utama kekal berada dalam zon positif, dirangsang oleh sokongan belian dalam kalangan saham berwajaran tinggi.
Namun begitu, trend negatif muncul di pasaran yang lebih meluas.
Pada tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.17 mata kepada 1,559.88 daripada 1,555.71 pada penutupan petang Khamis.
Indeks utama yang dibuka 0.45 mata lebih tinggi pada 1,556.16, bergerak antara 1,556.16 dan 1,563.47 sepanjang sesi.
Indeks komposit kebanyakannya meningkat berikutan peningkatan dalam saham Press Metal dan PetChem, dengan gabungan 2.664 mata.
Press Metal naik 11 sen kepada RM4.82 sementara PetChem mengukuh tujuh sen kepada RM8.07.
Di pasaran yang lebih luas, saham rugi mengatasi untung 497 hingga 335, sementara 442 kaunter tidak berubah, 955 tidak diniagakan dan 37 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berjumlah 3.05 bilion unit bernilai RM1.23 bilion.
Sementara itu, Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 4.4 peratus tahun ke tahun kepada 123.1 bulan lalu berbanding 117.9 tahun sebelumnya kerana kesan asas yang lebih rendah pada tahun 2020.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Public Bank menambah satu sen kepada RM4.19, Tenaga dan CIMB masing-masing naik dua sen kepada RM9.89 dan RM4.72, IHH meningkat tiga sen kepada RM5.64, dan Maybank tidak berubah pada RM8.20.
Bagi saham aktif, MMAG turun dua sen kepada 14.5 sen, Serba Dinamik merosot lima sen kepada 48.5 sen, Focus naik setengah sen kepada 4.5 sen, dan Sanichi jatuh setengah sen kepada lima sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 15.37 mata kepada 11,341.01, Indeks FBMT 100 naik 17.35 mata kepada 11,050.13, dan Indeks FBM Emas Syariah lebih tinggi 16.56 mata kepada 12,384.18.
Bagaimanapun, FBM ACE turun 48.57 mata kepada 7,305.75 dan FBM 70 kehilangan 24.75 mata kepada 14,640.23.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 16.71 mata kepada 15,308.22, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.09 mata kepada 188.23 sementara Indeks Perladangan susut 8.58 mata kepada 6,508.49.
– BERNAMA

