KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) — Anak syarikat milik penuh tidak langsung Hibiscus Petroleum Bhd, Peninsula Hibiscus Sdn Bhd, memeterai perjanjian jual dan beli bersyarat dengan Repsol Exploración, S.A. (Repsol), syarikat minyak dan gas dari Sepanyol, untuk mengambil alih seluruh kepentingan ekuiti dalam Fortuna International Petroleum Corporation (FIPC) dengan nilai US$212.5 juta secara tunai (US$1=RM4.13).
Hibiscus Petroleum berkata FIPC melalui anak syarikat milik penuhnya, iaitu Repsol Oil & Gas Malaysia Ltd (RML), Repsol Oil & Gas Malaysia (PM3) Ltd dan Talisman Vietnam Limited (TVL), mempunyai kepentingan penyertaan dalam beberapa kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) termasuk kepentingan sebanyak 60 peratus dalam 2012 Kinabalu Oil PSC yang terletak di luar pantai Sabah yang kini dipegang oleh RML.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Hibiscus Petroleum berkata FIPC turut mempunyai kepentingan penyertaan dalam 70 peratus kepentingan dalam sebuah blok yang terletak di perairan Vietnam yang kini dipegang oleh TVL dan 60 peratus kepentingan, masing-masing dalam PSC yang terdiri daripada dua blok yang terletak di luar pantai timur Semenanjung Malaysia di Lembangan Melayu yang kini dipegang oleh RML.
“Selepas melaksanakan perjanjian jual dan beli bersyarat, Peninsula Hibiscus telah membayar sebahagian deposit sebanyak US$7.5 juta (atau bersamaan dengan RM31.0 juta) kepada Repsol.
“Bersempena dengan cadangan pengambilalihan itu, jaminan syarikat induk oleh Hibiscus Petroleum yang memihak kepada Repsol berhubung perjanjian jual dan beli bersyarat juga telah dibuat pada tarikh yang sama,” katanya.
— BERNAMA




