KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) — Jualan berterusan di kaunter berkaitan indeks dalam reaksi segera menjelang sekatan pergerakan mendorong Bursa Malaysia rendah pada tengah hari ini.
Malaysia akan memasuki satu lagi pusingan sekatan pergerakan bermula esok dengan hanya perkhidmatan perlu yang tertentu dibenarkan untuk kekal beroperasi berikutan jumlah kes harian COVID-19 mencecah paras tertinggi lebih 8,000 kes baharu dan jumlah kematian harian yang hampir 100.
Pada 12.30 tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 15.99 mata, atau 1.00 peratus, kepada 1,578.45 daripada 1,594.44 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks dibuka rendah 23.4 mata kepada 1,571.04 dan berada antara 1,568.47 dan 1,583.20 sepanjang sesi dagangan pagi.
Suasana pasaran terus negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 866 berbanding 185, manakala 298 kaunter tidak berubah, 832 tidak diniagakan dan 58 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 4.20 bilion unit bernilai RM2.1 bilion.
Bursa tempatan diniagakan rendah hari ini dengan peniaga mengambil pendekatan berhati-hati dan kekal tidak memasuki pasaran menjelang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh selama dua minggu bermula esok.
Walaupun ahli ekonomi mengunjurkan sekatan pergerakan boleh mempengaruhi jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, sebahagiannya percaya sentimen semasa akan memberi peluang belian dalam pasaran ekuiti.
Public Investment Bank Bhd dan Kenanga Investment Bank Bhd, misalnya, mengekalkan sasaran FBM KLCI akhir tahun mereka pada 1,700 mata.
Malacca Securities Sdn Bhd berpendapat saham tempatan akan menghadapi tekanan jualan berikutan keputusan Majlis Keselamatan Negara untuk menguatkuasakan PKP penuh. Bagaimanapun, pelabur dijangka memberi tumpuan kepada saham berkaitan vaksin atau farmaseutikal dalam situasi program vaksinasi sedang dijalankan.
“Selain itu, sektor seperti teknologi dan perkapalan yang berkaitan dengan peringkat global serta berkaitan PPE akan terus beroperasi di bawah PKP penuh dan akan mendapat perhatian peniaga,” katanya dalam nota hari ini.
Dalam kalangan 30 saham wajaran tinggi, Top Glove naik enam sen kepada RM5.15.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi yang lain, Maybank susut enam sen kepada RM8.14, Public Bank dan Tenaga, masing-masing merosot tujuh sen kepada RM4.20 dan RM9.92 manakala PetChem berkurangan 14 sen kepada RM8.
Daripada kaunter paling rugi, Serba Dinamik, yang dalam proses melantik sebuah firma bebas, menyaksikan sahamnya merosot 48 sen kepada RM1.13, Hengyuan Refining susut 48 sen kepada RM5.20 dan Hong Leong Bank berkurangan 36 sen kepada RM18.24.
Daripada saham aktif, HB Global naik 3.5 sen kepada 32.5 sen, Managepay menambah satu sen kepada RM24 sen manakala Kumpulan Jetson susut 2.5 sen kepada 56 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 115.85 mata kepada 11,462.65 dan Indeks FBMT 100 berkurangan 109.08 mata kepada 11,167.52.
Indeks FBM Emas Shariah merosot 107.76 mata kepada 12,739.28, FBM 70 susut 128.25 mata kepada 14,741.40 dan FBM ACE turun 130.16 mata kepada 7,713.72.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 211.68 mata kepada 14,955.45, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 2.87 mata kepada 190.22 dan Indeks Perladangan susut 31.70 mata kepada 6,876.76.
— BERNAMA

