KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) — Telekom Malaysia Bhd (TM) menjadi antara saham paling untung di Bursa Malaysia semasa dagangan pagi pada Jumaat selepas mencatatkan prestasi kewangan suku pertama berakhir 31 Mac, 2021 yang kukuh.
Pada 10.15 pagi, saham TM melonjak 33 sen atau 5.59 peratus kepada RM6.23 daripada RM5.90 ketika ditutup pada Khamis, dengan 3.86 juta saham bertukar tangan.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis, syarikat telekomunikasi utama itu memaklumkan keuntungan bersih meningkat sekali ganda kepada RM325.47 juta pada suku pertama tahun kewangan 2021 daripada RM152.52 juta pada suku yang sama tahun kewangan 2020.
Ia menjelaskan prestasi kukuh itu didorong perolehan yang lebih tinggi di semua segmen selain perkhidmatan telekomunikasinya yang lain.
Menurut penyelidikan Maybank Investment Bank Bhd, keuntungan bersih utama TM sebanyak RM332 juta (meningkat 38 peratus tahun ke tahun) adalah 30 peratus daripada unjuran bagi tahun kewangan 2021 oleh pihaknya serta secara konsensus.
“Unjuran keseluruhan kekal memberangsangkan dengan TM berpotensi meraih manfaat daripada persekitaran bekerja dari rumah dan pelaksanaan 5G serta pengoptimuman kos yang berterusan.
“Justeru, kami mengulangi saranan ‘beli’ dengan harga sasaran tidak berubah RM7.40,” jelasnya dalam nota penyelidikan pada Jumaat.
Penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd turut senada apabila mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas TM dengan harga sasaran tidak berubah pada RM6.91.
Cabang penyelidikan bank pelaburan itu berpandangan inisiatif MYDIGITAL menjadi pertanda baik bagi syarikat tersebut.
“Berasaskan itu, kami menjangkakan pertumbuhan perolehan TM bagi tahun-tahun akan datang tetap teguh. Tambahan pula, kami memuji program rasionalisasi kos syarikat itu yang telah meningkatkan keberuntungannya secara ketara,” jelasnya dalam nota penyelidikan berasingan.
Sementara itu, Public Investment Bank Bhd menambah baik saranannya ke atas TM kepada ‘outperform’ daripada ‘neutral’, dengan harga sasaran lebih tinggi iaitu RM6.90 daripada RM6.60.
‘Outperform’ adalah pulangan ke atas saham yang dijangka melebihi keseluruhan penanda aras relevan iaitu 10 peratus, atau lebih tinggi bagi tempoh 12 bulan akan datang.
‘Neutral’ pula pulangan ke atas saham dijangkakan dalam lingkungan lebih kurang 10 peratus daripada pulangan penanda aras relevan bagi tempoh 12 bulan akan datang.
“Sebagai penyedia pusat data domestik terbesar di Malaysia, kami yakin TM memperoleh manfaat daripada penggunaan data dan Internet yang lebih tinggi pada masa akan datang, susulan rancangan kerajaan untuk menubuhkan pusat data berskala amat besar di bawah inisiatif MyDIGITAL,” menurutnya.
— BERNAMA

