KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) — Bursa Malaysia tinggi semasa mengakhiri sesi pagi ini selepas diniagakan dalam jajaran kecil berikutan minat pelabur untuk mengambil risiko dihadkan oleh rekod kematian dan jangkitan harian baharu COVID-19 yang tinggi di negara ini.
Pada 12.30 tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.28 mata kepada 1,572.10 daripada 1,571.82 semasa ditutup pada Isnin.
Indeks dibuka rendah 2.82 mata kepada 1,569.0.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 499 berbanding 437, manakala 375 kaunter tidak berubah, 891 tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 3.99 bilion unit bernilai RM1.89 bilion.
Malaysia melaporkan 61 kematian baharu, jumlah kematian COVID-19 pada Isnin, dengan jangkitan baharu sebanyak 6,509. Ia merupakan hari keenam berturut-turut, kes harian baharu negara terus melebihi paras 6,000.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Press Metal Aluminium naik tujuh sen kepada RM5.19, Petronas Chemicals dan Sime Darby Plantation, masing-masing meningkat tiga sen kepada RM7.95 dan RM4.54 manakala CIMB dan IHH, masing-masing menokok dua sen kepada RM4.22 dan RM5.19.
Daripada saham aktif, Progressive Impact naik tujuh sen kepada 21 sen, Privasia Technology menambah 1.5 sen kepada 27.5 sen, Dagang Nexchange meningkat tiga sen kepada 74 sen dan warannya menambah 2.5 sen kepada 24 sen manakala Ucrest berkurangan satu sen kepada 42.5 sen.
Kaunter paling untung termasuklah Carlsberg yang naik 50 sen kepada RM21.66 serta KESM dan Widetech, masing-masing meningkat 40 sen kepada RM12.34 dan RM3.17.
Kaunter paling rugi diterajui oleh Nestle yang merosot 90 sen kepada RM134.90, UWC susut 18 sen kepada RM5.30 dan Hartalega berkurangan 17 sen kepada RM9.31.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 7.70 mata kepada 11,460.75 dan Indeks FBMT 100 meningkat 6.43 mata kepada 11,148.83.
Indeks FBM Emas Shariah naik 0.67 mata kepada 12,742.40, FBM 70 meningkat 25.76 mata kepada 14,818.85 dan FBM ACE menambah 55.89 mata kepada 7,890.50.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 13.07 mata kepada 14,889.28, Indeks Perladangan menambah 10.27 mata kepada 6,941.80 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.54 mata kepada 191.43.
— BERNAMA

